LABIS – Kesedihan dan kerugian yang dialami lebih 168 pekebun kecil di Parlimen Labis ketika banjir pada Januari lalu sedikit terubat apabila mereka menerima wang ihsan banjir daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (Risda).
Seorang pekebun, Mohd Yusuf Paid, 53, berkata, wang yang diterima walaupun bukan dalam jumlah yang besar baginya mampu meringankan beban pekebun yang terjejas pendapatan disebabkan hasil torehan merosot.
“Pada masa sekarang pokok getah baharu sahaja mengalami musim daun luruh dan sedang berpucuk muda menyebabkan hasil kami merosot dengan ketara dan terpaksa mencari jalan menambah sumber pendapatan.
“Selain itu, penurunan harga daripada RM4.50 kepada hanya RM2.50 ketika ini juga turut memberi kesan besar terhadap penduduk setempat yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil getah,” katanya.
Dia ditemui selepas menerima wang ihsan Bantuan Pasca Banjir Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang disampaikan oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Kampung Paya Merah, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut seramai 168 pekebun kecil dari enam kampung iaitu Kampung Usaha Jaya, Kampung Paya Merah, Kampung Sungai Gatom, Kampung Tenang, Kampung Sawah Baru dan Pekan Air Panas menerima wang ihsan banjir sumbangan Risda.
Bagi Kadiron Palil, 86, pula berkata, dia menyifatkan bantuan yang dihulurkan Risda sebagai bukti bahawa pekebun kecil tidak pernah dilupakan dan kebajikan mereka sentiasa mendapat perhatian kerajaan.
“Sebelum ini pak cik telah menerima pelbagai skim bantuan yang disediakan oleh Risda termasuk bantuan tanam semula kebun getah dan bantuan kejatuhan harga getah sebanyak RM500.
“Wang ihsan banjir ini mungkin boleh digunakan untuk membeli belanja dapur kerana jumlah hari menoreh juga semakin berkurangan sejak kebelakangan ini disebabkan faktor cuaca dan musim luruh,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azahar berkata, di daerah Segamat sahaja, seramai 255 pekebun kecil yang terjejas banjir layak menerima wang ihsan tersebut yang diagihkan secara berperingkat di lima lokasi.
“Lima lokasi tersebut ialah di Kampung Tenang, Kampung Paya Merah, Lampung Paya Lang, Kampung Paya Besar dan Kampung Batu Badak dan setiap pekebun kecil akan mendapat wang tunai RM100.
“Wang yang disampaikan ini merupakan sumbangan KKLW melalui Risda kepada pekebun kecil yang terjejas banjir bukannya wang ihsan banjir seperti yang sangka oleh orang ramai dan sebab itu jumlah penerima adalah kecil,” katanya.
Comments