LABIS – Sebanyak 15 sekolah di Parlimen Labis telah menyertai kempen kitar semula sejak bulan Julai hingga November tahun ini sebagai salah satu usaha untuk menyedarkan masyarakat terutamanya para pelajar di daerah ini pentingnya pemuliharaan alam sekitar.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, kempen tersebut menggalakkan pelajar sekolah membawa bahan kitar semula dari rumah masing-masing untuk di asingkan bagi mendidik mereka untuk membiasakan diri dengan amalan kitar semula.
“Program ini selain mampu memberi pendidikan kepada pelajar, ianya turut membantu mengurangkan masalah pembuangan sisa pepejal dan sedikit sebanyak dapat membantu mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Kami harap kempen ini bukan sahaja mampu memberi kesedaran pelajar terbabit, sebaliknya turut memberi kesedaran terhadap kepentingan kitar semula dalam kalangan ibu bapa serta ahli keluarga lain,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kitar Semula Parlimen Labis di Bangunan MCA Labis, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kesedaran masyarakat di negara ini masih rendah berbanding negara maju dan usaha memberi kesedaran terhadap kepentingan serta faedah kitar semula perlu dilakukan secara berterusan.
Katanya, ketika ini dianggarkan kira-kira 22,000 hingga 30,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari meliputi sisa pepejal domestik serta pukal dan hanya 10 peratus daripada sisa pepejal yang dibuang berjaya dikitar semula pada tahun 2012.
“Pada tahun 2016, jumlah tersebut meningkat kepada 17 peratus dan kerajaan menyasarkan 22 peratus bahan buangan di kitar semula pada tahun 2020 dan sasaran tersebut bukan satu yang mustahil untuk dicapai sekiranya terdapat kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
“Kitar semula bukan sahaja dapat mengurangkan masalah penyediaan tempat dan kos pelupusan sampah yang semakin padat dan mahal, malahan mampu menjana ekonomi kepada syarikat dan individu sekiranya diuruskan dengan betul,” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan setiap sekolah di Parlimen Labis agar dapat mengambil inisiatif sendiri menubuhkan Kelab Alam Sekitar sebagai salah satu aktiviti kokorikulum serta meningkatkan kesedaran berhubung penjagaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Menurutnyaa, beliau yakin usaha ini mampu mendidik lebih ramai generasi muda untuk menghargai alam sekitar sekali gus melaksanakan kewajipan untuk terus menjaga alam sekitar dalam jangka masa panjang.
Comments