SEGAMAT – Seramai 14 usahawan tani di Dun Buloh Kasap menerima bantuan tanaman dan peralatan pertanian di bawah Program Bantuan Usahawan (PGU) dari Jabatan Pertanian Segamat.
Pegawai Pertanian Daerah Segamat, Nor Akmal Abdullah berkata, pemberian tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Jabatan Pertanian untuk membantu usahawan tani serta petani mengusakan projek bagi menambah pendapatan mereka.
“Peruntukan yang disampaikan dalam bentuk peralatan dan penyelenggaraan infrastruktur bertujuan bagi menggalakkan usahawan-usahawan ini meningkatkan kuantiti dan hasil produk masing-masing.
“Selain PGU, pelbagai insentif telah disediakan oleh kerajaan untuk membanggunkan sektor pertanian di daerah ini selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Segamat sebagai sebuah hub pertanian serta pengeluar makanan utama di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahann Bahan Tanaman dan Peralatan Program Pertanian Rakyat Peringkat Dun Buloh Kasap di Kompleks Penghulu Buloh Kasap, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kajian yang telah dilakukan menunjukkan rata-rata penerima bantuan PGU di daerah ini masih meneruskan usaha mereka dan sebahagian besar daripada mereka telah berjaya mengembangkan projek yang dijalankan.
Katanya, beliau menasihatkan penerima bantuan PGU agar menafaatkan sebaik mungkin bantuan yang diterima untuk mengembangkan projek yang diusahakan bagi memastikan usaha kerajaan membatu mereka tidak sia-sia.
“Kerajaan tidak meminta penerima membayar balik bantuan yang diberikan, tapi itu tidak bermakna penerima boleh bersikap sambil lewa atau menggunakan bantuan tersebut bagi tujuan lain atau keuntungan mudah dengan menjual peralatan yang diterima.
“Sebaliknya apa yang kerajaan mahukan adalah peningkatan pengeluaran daripada projek yang dijalankan yang mana akhirnya akan memberi keuntunggan kepada penerima itu sendiri sekaligus dapat merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Comments