LABIS – Seramai 10 usahawan tani di daerah ini menerima bantuan di bawah Program Bantuan Usahawan (PGU) berjumlah RM44,760 sementara 100 petani lagi menerima 400 anak benih durian kunyit dari Jabatan Pertanian Segamat.
Pegawai Pertanian Daerah Segamat, Murniyati Shamsuddin berkata, pemberian tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Jabatan Pertanian untuk membantu usahawan tani serta petani mengusahakan projek bagi menambah pendapatan mereka.
“Pada tahun ini sebanyak RM155,700,diperuntukkan bagi membantu seramai 32 usahawan yang mengusahakan pelbagai projek berkaitan pertanian melalui PGU sebagai galakan kepada mereka untuk bergiat lebih aktif dan akan disampaikan secara berperingkat.
“Selain PGU, pelbagai insentif telah disediakan oleh kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian di daerah ini selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Segamat sebagai sebuah hub pertanian serta pengeluar makanan utama di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan anak benih serta bantuan PGU yang disempurnakan oleh Adun Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim di Dataran Labis, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kajian yang telah dilakukan menunjukkan rata-rata penerima bantuan PGU di daerah ini masih meneruskan usaha mereka dan sebahagian besar daripada mereka telah berjaya mengembangkan projek yang dijalankan.
Sementara itu, Mohd Azahar menasihatkan penerima bantuan PGU agar menafaatkan sebaik mungkin bantuan yang diterima untuk mengembangkan projek yang diusahakan bagi memastikan usaha kerajaan membatu mereka tidak sia-sia.
“Kerajaan tidak meminta penerima membayar balik bantuan yang diberikan, tapi itu tidak bermakna penerima boleh bersikap sambil lewa atau menggunakan bantuan tersebut bagi tujuan lain atau keuntungan mudah dengan menjual peralatan yang diterima.
“Sebaliknya apa yang kerajaan mahukan adalah peningkatan pengeluaran daripada projek yang dijalankan yang mana akhirnya akan memberi keuntungan kepada penerima itu sendiri sekaligus dapat merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Comments