LABIS – Golongan muda hari ini bukan sahaja tidak berpeluang menikmati keenakannya, malah turut tidak berpeluang melihat secara dekat beberapa spesis haiwan liar seperti landak, kancil, kijang dan rusa tempatan yang semakin diancam kepupusan.

Namun usaha gigih seorang warga emas di Kampung Tenang menjinak dan menternak beberapa spesis haiwan liar seperti kancil dan kijang patut dipuji kerana usaha tersebut sedikit sebanyak mampu memberi sedikit sinar kepada generasi akan datang agar tidak sekadar mengenali haiwan tersebut melalui penceritaan dan gambar sahaja.

Ali Daud,70, berkata, segalanya bermula pada tahun 2016 apabila permohonannya mendapatkan permit menternak landak diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum diikuti permit menangkap dan memelihara kancil pada awal tahun 2018.

“Saya bermula dengan beberapa ekor induk landak raya yang diperolehi dari Selangor pada tahun 2016, namun induk landak raya tersebut merupakan baka landak yang dikembangkan di pusat ternakari bukan landak liar yang ditangkap dari hutan.

Ali Daud menunjukkan salah seekor anak landak raya yang dipeliharanya.

Dalam masa sama saya sebenarnya menyimpan hasrat untuk memelihara kancil kerana usaha menjinakkan dan memelihara kancil belum dilakukan oleh orang ramai ketika itu berbanding landak dan rusa.

Dia mencuba nasib dengan memohon permit menangkap kancil dengan Perhilitan Melaka dan Pahang pada penghujung tahun 2017 memandangkan tiada permit dikeluarkan untuk menangkap dan memburu haiwan liar di negeri Johor.

Dia bernasib baik, permohonannya diluluskan pada Januari 2018 dan dia tidak menoleh ke belakang lalu berusaha memasang perangkap jatuh di kawasan hutan sekitar Felda Selancar yang terletak di negeri Pahang untuk mendapatkan kancil bagi tujuan dijinakkan dan dipelihara.

Menurutnya selama lima bulan dia berulang alik menaiki motosikal ke hutan tersebut yang terletak kira-kira 60 kilometer dari rumahnya untuk memasang dan melihat perangkap jatuh yang dipasangnya sama ada mengena atau tidak.

“Usaha menangkap kancil bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kancil begitu sensitif dengan bau terutama bau manusia dan perangkap yang dipasang selalunya mengambil masa lebih seminggu sebelum dijengguk mangsa.

Ali Daud menunjukkan salah seekor kancil liar yang berjaya dijinakkan.

“Dalam tempoh tersebut selalunya daun lemaya yang dipasang sebagai umpan akan layu dan tidak lagi mampu menarik perhatian kancil untuk menjamahnya dan terpaksa ditukar dengan daun yang segar. Proses tersebut kena dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kita meninggalkan sebarang jejak dan bau yang boleh menghalang kancil mendekati perangkap,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lima bulan dia berjaya menangkap lima ekor kancil terdiri tiga betina dan dua ekor jantan untuk dijadikan induk. Namun usahanya tidak berakhir disitu sahaja kerana dia perlu sekali lagi memohon permit memelihara daripada Perhilitan sebelum boleh meneruskan hasratnya memelihara haiwan liar tersebut.

Daun lemaya yang menjadi kegemaran kancil.

Katanya, pada peringkat awal agak sukar untuk menjinakkan haiwan tersebut sehingga dia terpaksa mengurung kancil liar yang ditangkap dari hutan itu di dalam tempat yang gelap untuk tempoh beberapa minggu bagi membiasakannya dengan persekitaran baharu.

Ketika ini jumlah landak raya serta kancil peliharaanya sudah brtambah kepada 20 ekor landak dan sembilan ekor kancil.

Menurut Ali, dia menghadkan hanya 20 ekor landak dalam satu masa kerana tidak mahu kandang yang disediakannya terlalu sesak yang boleh menyebabkan haiwan tersebut tidak selesa.

Selalunya, dia akan menjual baka landak sahaja kepada mereka yang berminat untuk menternak landak kerana dia tidak mempunya lesen untuk tujuan pedaging, sebaliknya hanya pengembangan baka sahaja.

Sementara kancil pula dia tidak dibenarkan menjual sama ada dalam bentuk baka mahu pun daging untuk tujuan makanan kerana dia hanya mempunyai permit menangkap dan memelihara sahaja setakat ini.

“Berbanding landak, pembiakan kancil agak lambat kerana haiwan ini lazimnya hanya melahirkan seekor anak dalam satu masa dan secara maksima boleh bunting dua kali setahun.

“Selain itu penjagaan kancil agak rumit kerana kancil memerlukan suasana kandang yang menyerupai habitat sebenarnya seperti di dalam hutan, jika tidak kancil tidak selesa dan sukar untuk membiak serta mudah dijangkti penyakit.” katanya yang sudah membelanjakan lebih RM20,000 wang simpanannya untuk membina kandang landak, kancil dan terbaharu kijang.

Berdasarkan komitmen serta minat terhadap haiwan liar, Perhilitan telah memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan usahanya bagi menternak kijang pula sejak dua bulan lalu dengan membekalkan empat ekor baka kijang baka tempatan iaitu tiga betina dan seekor jantan.

Salah seekor kijang peliharaan Ali Daud yang masih dalam proses dijinakkan.

Katanya, usaha menjinakkan kijang lebih sukar berbanding kancil selain perlu menyediakan kandang yang lebih luas dan pagar yang tinggi kerana kijang mampu melompat sehingga tiga meter tinggi.

Seperti juga kancil, selain memelukan persekitaran yang menyerupai habitat asal seperti di hutan, kijang juga gemar memakan pucuk daun kayu hutan dan buah-buahan segar yang boleh diperolehi di sekitar kampung sahaja.

Ali Daud mengumpul buah-buahan serta ubi keledek untuk diberikan kepada haiwan peliharaannya.

Dia mengakui sebahagian besar masanya dihabiskan di kandang ternakan untuk memastikan semua haiwan pelharaan sentiasa mendapat penjagaan rapi bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit.

“Saya berasa tenang melihat keletah haiwan ini dan puas setiap kali berjaya menjinakkan haiwan liar ini dimana ada yang sudah mula boleh didekati serta makan makanan ditangan.

“Saya tidak melihat usaha ini dari aspek komersial sangat, sebaliknya sebagai terapi dan hobi selain mampu menyumbang kepada usaha mengelak spesis in pupus sehingga generasi akan datang tidak boleh melihatnya lagi,” katanya yang merupakan satu-satunya orang awam yang diberikan permit untuk memelihara kijang oleh Perhilitan di negara ini setakat ini.

Menurutnya dia mengamalkan sikap terbuka dan membuka pintu kepada orang ramai terutama golongan muda yang ingin melihat secara dekat haiwan yang dipeliharanya itu, namun buat sementara waktu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan orang ramai tidak dibenarkan melawat sehinggalah keadaan kembali normal nanti.

(Visited 3,046 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!