MENJUAL burger nyata mampu memberikan pulangan lumayan kepada peniaga jika ia diuruskan dengan sistematik selain mewujudkan variasi menu baharu buat pelanggan.Bagi pemilik gerai Santai Burger Kukus, Rozi Hassan, 45, dia mengetengahkan menu burger kukus sebagai kelainan dalam perniagaan menjual makanan ringkas itu dan menjadi peniaga burger kukus pertama di Segamat.Menurutnya, gerainya yang terletak di Jalan Arshad, Segamat, dibuka seawal jam 5 petang setiap hari.Kebanyakan pelanggan yang datang adalah pelanggan tetapnya.

Burger kukus, panggang

Rozi berkata, dia menggunakan teknik kukus dan panggang untuk menyediakan burger di gerainya.

Menurutnya, penyediaan burger yang biasa dilihat ialah daging burger akan ditekan-tekan atas kuali leper berulang kali yang menyebabkan jus dalam daging kering dan teksturnya menjadi liat.

“Berbeza dengan teknik mengukus dan panggang, daging burger akan menjadi lembut dan mudah dipotong serta dikunyah. Jus dalam daging juga dapat dikekalkan dengan roti burger yang lembut selepas ia dikukus,” katanya.

Tambahnya, sekurang-kurangnya 10 minit diperlukan untuk mengukus roti burger, namun tiada had maksimum masa diperlukan untuk mengukus daging burger.

Rozi (kiri) sedang menyiapkan burger kukus untuk pelanggannya
Rozi (kiri) sedang menyiapkan burger kukus untuk pelanggannya

Bapa empat anak itu berkata, daging burger yang digunakan berkomposisikan 100 peratus daging bagi menjamin kualiti burger dihasilkan begitu juga roti yang digunakan adalah roti bijan yang diperoleh daripada pembekal di daerah ini.

“Selain itu, dengan kombinasi sos yang betul, burger kukus ini mampu memikat selera pelanggan dan sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan,” katanya.

Persembahan untuk pelanggan

Menurut suami Zaidah Hashim, 45, ini lagi, baginya menjual burger juga bukan sekadar bergantung kepada cara penyediaan makanan itu tetapi turut dipengaruhi sikap peniaga yang mengutamakan disiplin, kebersihan dan budi bahasa.

Rozi berkata, harga burger yang ditawarkan di kedainya juga berpatutan dan mampu milik selain pihaknya turut menyediakan servis penghantaran untuk pelanggan yang tinggal berhampiran.

“Burger kambing, rusa dan oblong menjadi kegemaran pelanggan. Saya juga berlatih cara memasak seperti melambung daging untuk memberikan persembahan kepada pelanggan sementara menunggu pesanan burger mereka siap.

“Saya berniaga burger ini secara sambilan pada waktu petang sehingga malam kerana bekerja dengan sebuah agensi kerajaan di sini dan apa yang pasti perniagaan ini amat membantu saya memperolehi pendapatan dengan mudah,” katanya.

Menurutnya, untuk perancangan jangka masa panjang, dia merancang untuk membuka beberapa francais burger kukus di sekitar daerah ini dan dalam proses untuk mengukuhkan jenamanya sendiri melalui media sosial seperti Facebook.

Menu diperkenal rakan

Sementara itu, bagi penggemar burger kukus, Mohamad Zuhir Luqman Zulkofli, 25, dia mula meminati hidangan tersebut selepas dikenalkan oleh salah seorang rakannya yang juga pelanggan tetap Santai Burger Kukus.

“Burger yang paling saya suka ialah burger kukus kambing kerana rasa kenyal dan kesegaran daging kambing itu sendiri dapat dirasa ditambah pula dengan rasa sos yang enak.

“Suasana di gerai ini memang santai kerana lokasinya yang agak strategik. Selain itu, saya meminati nasi lemak kukus yang turut disediakan di sini dan harganya yang amat murah dan berbaloi,” katanya.