Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Usahawan Melayu Segamat disaran bersatu

SEGAMAT – Komuniti usahawan dan peniaga Melayu di daerah ini disaran supaya bersatu dan tolong menolong bagi membangunkan dan merancakkan lagi ekonomi dengan mengenepikan sifat hasad dengki.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, kebanyakan peniaga Melayu juga mempunyai sifat kurang senang melihat kejayaan orang lain namun pada masa sama kekuatan sendiri tidak cuba dibuktikan.

Ayub (kiri) menyampaikan ucapan perasmian.

Ayub (kiri) menyampaikan ucapan perasmian.

“Ada di antara peniaga Melayu yang mempunyai kekuatan tetapi tidak mahu digunakan untuk memajukan diri sendiri jauh sekali membantu orang lain selain sikap berkongsi kelebihan yang jarang dipraktikkan.

“Namun, apabila mereka mengalami kegagalan di dalam sesuatu perniagaan, hakikatnya kerajaan juga yang disalahkan sedangkan kita banyak memberi bantuan seperti pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat dan Penerangan Keusahawanan anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Segamat di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Segamat Tengah, di sini, baru-baru ini.

Usahawan bumiputera yang hadir ke Program Taklimat & Penerangan Keusahawanan 2016 anjuran DPMMJ Segamat baru-baru ini.

Usahawan bumiputera yang hadir ke Program Taklimat & Penerangan Keusahawanan 2016 anjuran DPMMJ Segamat baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua DPMMNJ, Syed Salim Syed Mohamed; Penghulu Kanan Daerah Segamat, Abdul Latiff Kaliman dan Pengurus Besar PPK Segamat, Abdullah Wahab.

Menurutnya, terdapat segelintir peniaga Melayu juga masih mempunyai mentaliti bahawa mereka mempunyai hak untuk menerima subsidi dan bantuan kerajaan sekaligus membawa kepada sikap tidak mahu berusaha.

“Ini merupakan salah satu faktor kenapa usahawan Melayu masih gagal untuk menyaingi peniaga-peniaga kaum lain selain niat survival semata-mata berdasarkan bantuan yang diberikan tanpa mahu melipatgandakan usaha.

“Jadi, persatuan seperti DPMMNJ ini penting kerana selain mampu membina rangkaian perniagaan, peniaga juga boleh bertukar pandangan, kelebihan dan akhirnya mengikis sikap kebergantungan,” katanya.

(Visited 216 times, 1 visits today)






Komen

error: