Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tiga pesakit kronik terharu terima kerusi roda

LABIS – Kedatangan Hari Raya Aidiladha buat tiga pesakit kronik di Taman Perumahan Awam Labis, di sini, menjadi lebih bermakna selepas terpilih menerima sumbangan kerusi roda daripada Ahli Parlimen Labis Datuk Chua Tee Yong, baru-baru ini.

Bagi pesara tentera, Jaafar Sidek Anuar, 61, berkata kerusi, roda tersebut sedikit sebanyak memudahkannya untuk bergerak sama ada di dalam atau di luar rumah selepas kaki kirinya dipotong akibat penyakit diabetes, dua bulan lalu.

“Selepas kaki pak cik dipotong, pak cik terpaksa mengharap bantuan isteri untuk bergerak dengan memapah pak cik dan pak cik juga turut menghidap penyakit buah pinggang dan masalah jantung.

“Kerusi roda ini juga akan memudahkan lagi urusan pak cik untuk pergi menjalani rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu di Labis dan selepas ini pak cik boleh bergerak sendiri tanpa perlu menyusahkan isteri,” katanya.

Dia ditemui semasa menerima kerusi roda tersebut yang disampaikan oleh Haslinda Salleh, di rumahnya.

Bagi seorang lagi penerima, Sapinah Dolmat, 69, dia yang juga mengalami komplikasi buah pinggang berkata, dia tidak mampu berdiri lama dan berjalan jauh kerana mempunyai masalah lemah pada bahagian kaki.

“Mak cik sudah hampir 10 tahun menjalani rawatan hemodialisis dan terpaksa mengharap bantuan anak mak cik untuk memapah mak cik setiap kali mahu bergerak di dalam rumah sebelum ini.

“Sebelum ini mak cik pernah berhasrat mahu membeli kerusi roda ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana harganya yang agak mahal dan tidak sangka hari ini mak cik terima kerusi roda,” katanya.

Bagi Rashid Kasinon, 59, berkata, dia yang terlantar selepas disahkan menghidapi jangkitan kuman pada paru-paru beberapa bulan lalu turut melahirkan rasa gembira menerima sumbangan kerusi roda tersebut.

“Hampir sebulan saya ditahan di wad Hospital Daerah Segamat (HDS) sebelum ini dan selepas dibenarkan pulang ke rumah saya tidak mampu untuk berdiri dan terpaksa dibantu isteri untuk menguruskan diri.

“Kerusi roda ini akan memudahkan lagi isteri saya untuk menguruskan saya dimana dia tidak perlu lagi mendukung saya untuk ke bilik air setiap hari,” katanya.

(Visited 39 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: