Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tidak sangka terima hamper Hari Keputeraan Sultan Johor

SEGAMAT – Seorang guru yang sedang menjaga dua anaknya yang sakit di wad Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, tidak menyangka menerima sumbangan ‘hamper’ sempena Hari Keputeraan Sultan Johor baru-baru ini.

Jemmy Husinga, 42, berkata, Isnin lalu, anak bongsunya, Ahmad Mustafa Rohaizal, 2, dimasukkan ke hospital kerana mengalami penyakit asma sebelum diikuti oleh anak sulungnya, Siti Aishah, 3, kerana penyakit yang sama.

“Kedua-dua mereka memang mempunyai penyakit asma sejak kecil dan doktor mungkin akan membenarkan Ahmad Mustafa pulang ke rumah kerana keadaannya semakin bertambah baik.

“Bagaimanapun, Siti Aishah pula mungkin akan ditahan beberapa hari lagi sehingga keadaannya bertambah elok dan saya terpaksa meminta bantuan adik ipar untuk menjaga Siti Aishah kerana dia ditempatkan di bilik berasingan walaupun wad yang sama,” katanya.

Menurutnya, sempena cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, dia memanfaatkan masa sepenuhnya dengan menemani anak-anaknya di hospital selain terpaksa mengambil cuti rehat sejak anak-anaknya dimasukkan ke hospital.

Bagi Noraliza Abdul Aziz, 42, dia yang menjaga anaknya, Muhammad Harraz Fitri, 7 bulan, yang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya terkejut apabila menerima kunjungan ketua-ketua jabatan kerajaan di daerah ini.

Mohd Haffiz (tengah) melihat keadaan Siti Aishah yang menghidap penyakit asma di HDS

Mohd Haffiz (tengah) melihat keadaan Siti Aishah yang menghidap penyakit asma di HDS

“Saya tahu 23 Mac merupakan Hari Keputeraan Sultan Johor tetapi tidak menyangka pula anak saya yang terpilih menjadi penerima sumbangan kerana ramai lagi pesakit di hospital ini.

“Sumbangan dan lawatan yang diterima sedikit sebanyak memberi saya semangat untuk terus tabah menjaga anak saya kerana dalam tempoh sebulan, sudah empat kali dia dimasukkan ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad yang menyerahkan sumbangan tersebut berkata, penyerahan sumbangan berkenaan merupakan acara tahunan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

“Kita hendak berkongsi kegembiraan bersama penduduk daerah ini terutamanya mereka yang memerlukan seperti pesakit di hospital ini selain pelbagai aktiviti lain yang dianjurkan khas bersempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

“Sebagai Pegawai Daerah yang baharu, ini merupakan salah satu cara bagi saya menzahirkan penghargaan kepada penduduk daerah ini selain menjalankan dasar-dasar yang telah diaturkan oleh kerajaan negeri melalui Pelan Strategik Johor,” katanya.

(Visited 188 times, 1 visits today)






Komen

error: