Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tangguh pengajian buka perniagaan

SEGAMAT- Seorang pemuda di sini boleh menarik nafas lega selepas perniagaan fotografi perkahwinan yang diusahakannya sejak hampir tiga tahun lalu kini semakin berkembang dan memberi pulangan lumayan.

Mohamad Fitri Mohd. Salleh,23, mengakui pada mulanya dia berasa bimbang jika keputusan menangguhkan pengajian di peringkat ijazah semata-mata untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan mendapat tentangan keluarga.

“Saya nekad menggunakan wang simpanan sebanyak RM5000 untuk membeli peralatan studio seperti lampu serta meyewa premis untuk memulakan perniagaan ini sebaik menamatkan pengajian peringkat diploma dua tahun lalu.

“Minat saya timbul untuk menjadikan bidang fotografi sebagai kerjaya selepas dihadiahkan sebuah kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR) bagi memenuhi keperluan pengajian saya tiga tahun lalu,” katanya baru-baru ini.

Menurut bekas penuntut Kolej Poly-Tech MARA, Batu Pahat dalam jurusan Graphic And Design itu, dia mula mengumpul modal secara diam -diam dengan cara mengambil gambar perkahwinan dan pelbagai majlis secara sambilan ketika masih menuntut di kolej tersebut.

Mohamad Fitri sedang menyunting gambar yang dirakamnya sebelum dihantar untuk proses ‘photo book’ dan diserahkan kepada pelanggan.

Katanya, dia bersyukur hasratnya untuk membuka studio fotografi mendapat restu dan sokongan keluarga walaupun terpaksa menolak tawaran untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di beberapa intstitusi pengajian tinggi.

“Minat saya mula timbul selepas diajar menggunakan kamera sewaktu mengikuti modul kursus tersebut yang kebetulan terdapat kursus asas fotografi.

“Bermula dari itu, saya sering diminta oleh rakan serta saudara-mara untuk merakam gambar di majlis perkahwinan serta hari jadi dan mendapat wang saku hasil selain mengumpul modal,” kata pemilik di Luckyfit Studio yang beroperasi di No.7A, (sebelah Bank Rakyat) Jalan Segamat, Labis di sini.

Katanya, selain menyediakan pakej mengambil gambar perkahwinan bermula dari RM1100 hingga RM1800, dia turut memenuhi permintaan mengambil gambar pelbagai majlis rasmi serta keramaian disamping gambar studio seperti gambar kanak-kanak.

Nazmil dan Mohamad Fitri sedang melekatkan sekeping gambar pada bingkai yang ditempah oleh pelanggannya.

Menurutnya, dia kini melangkah setapak lagi dengan usaha membuat bingkai gambar sendiri selepas mendapati usaha tersebut mampu beri pulangan yang lumayan berbanding menempah daripada pembekal lain sebelum ini.

“Saya tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang ini kerana saya bebas untuk berkarya selain seronok berdepan dengan pelbagai cabaran baharu setiap kali keluar mengambil gambar yang membuat saya semakin matang menempuh kehidupan ini.

“Selain itu saya berasa bertuah dan teruja berpeluang menjadi sebahagian daripada watak penting merakam peristiwa bersejarah raja sehari dan bidang ini juga mengajar saya untuk berdisplin serta bersabar untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Dapat Sokongan Keluarga dan Rakan

Kegigihan pemilik Fotofit Studio mencari tapak dalam bidang perniagaan fotografi banyak didorong oleh keluarga terutama ibunya yang merestui keputusan untuk menangguhkan pengajian diperingkat ijazah.

Ibunya, Norhamizah Selamat,51, mengakui terkejut apabila dimaklumkan anaknya mengenai hasrat untuk menceburi bidang perniagaan tersebut kerana sepanjang pengetahuannya Mohamad Fitri tidak mempunyai pengalaman atau pendidikan dalam bidang fotografi sebelum ini.

“Namun sebagai ibu, saya tidak menghalang hasratnya itu, sebaliknya sentiasa memberi galakan dan membantu semampu yang boleh walaupun diperingkat awal saya berasa kurang yakin dengan kemampuannya.

“Tetapi sekarang saya berasa lega selepas melihat perniagaan Mohamad Fitri semakin hari semakin berkembang dan dia sudah boleh berdikari serta begitu serius dengan setiap tugasan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, dia berharap anaknya itu tidak lupa diri dengan apa yang dimiliki ketika ini serta meneruskan pengajiannya diperingkat ijazah suatu hari nanti kerana dia berpendapat pendidikan adalah penting.

Nazmil Hashim,23, pembantu Mohamad Fitri dalam kerja-kerja membuat bingkai gambar pula menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang teliti dan begitu mengambil berat terhadap mutu gambar yang dihasilkan.

Walaupun dia tidak berkebolehan untuk mengambil gambar, namun dia bersyukur dengan peluang kerja yang diberikan oleh rakannya itu untuk membuat bingkai gambar yang ditempah pelanggan.

Menurutnya lagi, dia tidak membuat bingkai gambar itu bersendirian, sebaliknya sering dibantu oleh rakannya itu kerana hanya Mohamad Fitri yang mengetahui saiz serta bentuk bingkai gambar yang ditempah pelanggan.

Teh Mei Loun,28, salah seorang pelanggannya mengakui berpuashati dan senang berurusan dengan Mohamad Fitri yang disifatkannya sebagai seorang yang menepati masa.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil gambar anak saya yang dirakam di studionya baru-baru ini kerana Mohamad Fitri dapat menonjolkan sifat periang anak saya.

“Selain itu dia juga menepati masa untuk menyiapkan gambar tersebut dalam beberapa hari sahaja dan saya percaya dia mampu melangkah lebih jauh pada masa akan datang,” katanya.

(Visited 366 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: