Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tangga batu Kampung Paya Dalam tinggal tanda tanya

SEGAMAT – Bagi pengguna jalan raya atau penduduk setempat yang melalui Jalan Segamat-Muar, pandangan mata mereka pasti akan tertumpu kepada tangga tinggi yang menaiki bukit yang terletak di Kampung Paya Dalam, di sini.

Malahan orang luar yang sering melalui jalan raya ini juga mengagumi dan tertanya-tanya mengenai tangga batu tersebut di kampung yang terletak kira-kira dua kilometer dari Bandar Segamat dan terletak bersebelahan Jalan Segamat-Muar.

Namun begitu, dari peristiwa sejarah kampung ini tidak memberi kesan-kesan sejarah yang penting. Walau bagaimanapun bagi generasi kini telah menjadi tanda tanya mengenai tangga batu yang tinggi menaiki sebuah bukit terletak berhampiran di Jalan Segamat-Muar.

Laluan tangga batu yang masih kekal menaiki ke anjung di atas bukit.

Pembukaan sejarah awal kampung ini tidak dapat diketahui kerana sebelum kampung ini diduduki telah ada beberapa batu nisan berselerakan di atas sebuah bukit dan dipercayai kampung ini telah dibuka oleh Haji Yahya Lembek pada tahun 1910.

Pada masa itu kampung ini dipenuhi kawasan hutan belukar dan paya yang berair dalam dan hanya terdapat dua buah rumah saja dibina menggunakan batang pokok pinang berdindingkan kulit kayu selain kegiatan pertanian hanyalah tertumpu pada tanaman padi bukit.

Pada awal abad ke-19, di Segamat hanya pembesar sahaja yang menduduki rumah bercirikan rumah bumbung limas dan pembinaan tangga kayu semakin berkurangan pada pertengahan tahun 1920 apabila kemasukan British mempengaruhi seni bina rumah Melayu.

Menjelang tahun 1914, Jalan Segamat-Muar telah mula dibina sehingga siap pada tahun 1939 menyebabkan Kampung Paya Dalam mula didatangi penduduk baharu lalu mereka membina rumah di kampung ini.

Turut dikenali dengan ‘Tangga Hatta’

Bagi penduduk lama berdekatan kampung ini, sudah jadi kebiasaan bagi mereka memanggil tangga batu tersebut dengan ‘Tangga Hatta’ kerana tangga batu itu pada awalnya menuju ke sebuah Rumah Limas yang terletak di atas bukit yang dimiliki oleh Hatta Mohd Salleh.

Menurut Ramlah Hatta, 77, berkata, atas kegigihan arwah bapanya dalam pelajaran, dia telah diterima berkhidmat di dalam Lembaga Bandaran Segamat (kini Majlis Daerah Segamat) sebagai ‘Chief Clerk, Town Board’ pada tahun 1930.

Gambar asal rumah limas Haji Hatta sebelum dirobohkan

“Arwah bapa telah membeli sebidang tanah daripada Haji Raya yang terletak diatas bukit tersebut sebelum dinaikkan pangkat pada tahun 1935 dan dipindahkan ke Batu Pahat dan ke Johor Bahru pada tahun 1940.

“Sebagai anak jati Segamat, arwah sentiasa membantu penduduk di Segamat dan sering pulang ke Segamat dari Johor Bahru dan hasil wang pekerjaan itulah dia mendirikan sebuah rumah limas bertangga batu diatas bukit Kampung Paya Dalam sekitar tahun 1930,” katanya.
Menurutnya, tangga batu itu pada asalnya sebanyak 55 anak tangga menjadikannya rumah Melayu di daerah ini yang paling banyak jumlah tangganya dan dahulu, menjelang Hari Raya Aildilfitri, tangga ini terang benderang dihiasi dengan lampu pelita.
Katanya, arwah bapanya juga seorang yang baik hati dan lemah lembut dan sewaktu perang dunia kedua berlaku, dia pernah membantu gadis-gadis Cina bersembunyi di atas ruang loteng rumah daripada ancaman askar Jepun.

Hanya tinggal tangga batu sahaja

Bagi Mohd Sadiki Ariff, 50, berkata, ibunya pernah menceritakan bahawa Haji Hatta telah membayar upah kepada tukang Cina dari Muar untuk membina tangga tersebut sebelum meninggal dunia pada tahun 1964 di Johor Bahru.

Menurutnya, selepas kali terakhir rumah itu diduduki oleh Ramlah pada tahun 1975, rumah itu telah disewakan dan lama-kelamaan menjadi usang sebelum terbiar sehingga kini.

“Sekitar tahun 80-an, tangga ini pernah dijadikan lokasi penggambaran drama oleh pelakon Wan Maimunah dan pada tahun 1990, kerajaan telah meluruskan jalan yang mengakibatkan sebahagian bukit terpaksa ditarah dan beberapa anak tangga bahagian bawah telah dirobohkan.

Ramlah menunjukkan gambar arwah bapa dan ibunya yang masih disimpan.

“Rumah limas itu turut dirobohkan kecuali bahagian anjung dan tangga batu saja ditinggalkan sebagai kenangan dan sebab itu, tangga batu ini telah menjadi tanda tanya bagi generasi kini dan sekarang kawasan ini menjadi tumpuan penggambaran perkahwinan,” katanya.

Selain itu, bagi penduduk setempat, cerita mengenai seekor naga yang pernah berlaku di bawah tapak tangga bukit ini tidak asing lagi namun misteri dan mitos ini sentiasa menjadi bualan sehingga kini.

Penduduk sekitar mempercayai terdapat seekor naga bertapa di bawah bukit rumah itu di Kampung Berata sehingga Kampung Gemereh dan menurut cerita orang tua-tua dahulu, banjir besar akan berlaku apabila naga itu mula bergerak.

(Visited 664 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: