Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tagme pengiklanan atas talian percuma dan mudah

Tagme Percuma dan Mudah

SEGAMAT – Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini khususnya di negeri Johor kini mempunyai peluang untuk memasarkan produk mereka melalui atas talian secara PERCUMA dan MUDAH.

Mereka boleh berbuat demikian melalui aplikasi ‘Tagme’ yang dibangunkan oleh anak muda daerah Segamat yang merupakan mahasiswa lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Berfungsi menghimpunkan direktori seperti Yellow Pages, Trip Advisor dan laman web ‘Localeur’, aplikasi dan web ‘Tagme’ yang dibangunkan oleh Ahmad Najmi Amer Haider Nuar, 25, ini boleh dianggap sebagai ‘nafas baharu’ direktori atas talian.

Menurut Najmi, Tagme yang mula dibangunkan secara berperingkat pada awal tahun lalu merupakan projek akhir ijazah sarjana mudanya di mana setiap mahasiswa jurusannya diminta membangunkan satu sistem atau aplikasi mereka sendiri.

“Keistimewaan Tagme ini, setiap peniaga yang ingin mengiklankan perniagaan mereka di laman web kami tidak perlu membuat laman web sendiri dan mereka (peniaga) boleh meletakkan gambar produk atau servis mereka tanpa had.

Aplikasi Tagme boleh dimuat turun melalui Google Play

Aplikasi Tagme boleh dimuat turun di Google Play

“Selain itu, kami turut menyediakan panduan navigasi setiap perniagaan yang diiklankan menggunakan Google Maps untuk memudahkan pelanggan mencari lokasi tempat makan, tempat menarik dan sebagainya,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurut anak muda yang berjiwa besar itu, pada peringkat awal ini, dia menyasarkan untuk membantu peniaga di sekitar daerah Batu Pahat dan Segamat mempromosikan produk mereka secara atas talian kerana mengakui kos pembangunan web agak mahal.

Katanya, dia juga menyediakan aplikasi Tagme untuk setiap telefon pintar seperti android yang boleh dimuat turun di Google Play dan sehingga kini, sambutan yang diterimanya cukup menggalakkan.

Log masuk mudah dengan mendaftar menggunakan akaun Facebook

Log masuk mudah dengan mendaftar menggunakan akaun Facebook

Merupakan alumni pertama program MIT Global Startup Lab (MIT GSL) Malaysia, Ahmad Najmi mengakui program selama tiga bulan pada tahun 2014 itu memberikannya lebih banyak idea untuk membangunkan Tagme.

Tambah membanggakan, dia juga akan mewakili Malaysia untuk mempromosikan Tagme pada Ekspo EM Tech di Singapura pada 27 hingga 28 Januari ini sempena Program CREATE (Computer For Research And Technology Enterprise) peringkat antarabangsa.

Saya berharap agar Tagme ini mendapat tempat di hati masyarakat dan akan berada di dalam setiap telefon pintar sama seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya pada masa akan datang.

“Buat masa sekarang, hanya saya seorang yang menguruskan Tagme ini kerana tiada pasukan dan berharap Eskpo EM Tech ini mampu membuka ruang yang lebih cerah kepada saya,” katanya.

PERNAH GAGAL SPM

Sijil SPM Najmi yang gagal dalam beberapa subjek termasuk Matematik Tambahan yang tidak tercatit dalam sijil

Sijil SPM Najmi yang gagal dalam beberapa subjek termasuk Matematik Tambahan yang tidak tercatit dalam sijil

Bakal menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), dia yang memperolehi nilai gred purata keseluruhan (CGPA) 3.78 semasa ijazah sarjana muda mengakui pernah mengalami kegagalan semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007.

Katanya, dia yang gagal dalam mata pelajaran Kimia, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan seolah putus harapan sebelum ditawarkan kursus komputer di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di Taman Yayasan Segamat.

Bermula dari itu, saya mula meminati bidang komputer sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Pengajian Tinggi Mara (KPTM) Kota Bahru pada tahun 2008 dalam jurusan IT.

“Selepas itu, saya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di UTHM pada tahun 2012/2015 dan tidak menyangka memperolehi kepujian kelas pertama. Sebelum ini saya pernah berazam bahawa kegagalan SPM dahulu akan ditebus,” katanya.

(Visited 387 times, 2 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: