Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Tabah jaga suami, bapa dan ibu tiri sakit

SEGAMAT – Seorang wanita di Kampung Bukit Tunggal, di sini, yang menjaga suami, bapa dan ibu tirinya yang sakit dan uzur terharu apabila menerima kunjungan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, baru-baru ini.

Boyah Morshidi, 60, berkata, bapanya, Morshidi Bakri, 80; suaminya, Suboh Othman, 81, dan ibu tirinya, Yakriah Saring, 62, kini terpaksa mengharapkan bantuannya untuk menguruskan diri dan keperluan harian mereka.

“Bapa saya tidak boleh berjalan kerana kaki kanannya sudah dipotong hingga ke paras paha kerana penyakit gangren kira-kira lima tahun lalu dan dia (bapa) lebih banyak berbaring sahaja di rumah.

“Manakala, suami saya pula menghidap kanser prostat sejak lapan tahun lalu dan ibu pula kesihatannya semakin merosot disebabkan faktor umur dan kesemua mereka tidak boleh berjalan atau berdiri terlalu lama,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengharapkan pendapatannya yang mengambil upah menoreh getah selain turut dibantu oleh dua anaknya.

“Saya dan suami tinggal bersebelahan rumah bapa dan setiap hari saya akan melihat mereka dan menghantar lauk kerana adik beradik yang lain tinggal berjauhan selain menganggap ini sebagai tanggungjawab seorang anak.

“Suami pula terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak kerana penyakit kansernya itu dan kami juga telah melakukan pelbagai ikhtiar sama ada rawatan moden dan tradisional namun masih belum serasi mungkin disebabkan faktor umur,” katanya.

Menurutnya, bapanya juga sempat berbisik kepadanya bahawa dia terharu apabila menerima kunjungan Shahrizat kerana selama ini hanya melihat wajah pemimpin tersebut di dalam televisyen dan surat khabar sahaja.

Sementara itu, Daud berkata, JKM juga telah menyerahkan sebuah kerusi roda kepada Morshidi bagi memudahkan dia bergerak selain turut terharu dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Boyah.

“Morshidi juga menerima bantuan bulanan sebanyak RM150 melalui Skim Bantuan Am JKM dan selepas ini kita akan menaikkan jumlah bantuan kepada RM300 di bawah Bantuan Orang Tua (Bot).

“Bantuan yang sama juga akan diberikan kepada Suboh dalam masa terdekat ini kerana hasil siasatan melayakkan dia menerima bantuan tersebut dan saya harap bantuan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka,” katanya.

(Visited 78 times, 1 visits today)






Komen

error: