Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Sukarelawan Kospen dibekalkan komputer riba

SEGAMAT – Kementerian Kesihatan akan membekalkan komputer riba kepada sukarelawan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) bagi membolehkan data-data kesihatan ke dalam Sistem Penilaian Dalam Talian MySihat (MOVeS).

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sukarelawan Kospen yang lebih dikenali sebagai pasukan Gerak Sihat Malaysia (GsiM) juga boleh memasukkan data ke dalam sistem MOVes biarpun ketika ‘offline’ sebelum ia disalurkan semasa mempunyai talian internet.

“Melalui proses itu juga, kita telah mendaftar maklumat kesihatan kira-kira 76,000 peserta saringan ke dalam sistem MOVes dan kira-kira 250,000 orang dewasa di negara ini menjalani proses saringan kesihatan sejak Kospen ditubuhkan pada Oktober 2013.

Subramaniam (kanan) melihat sukarelawan Kospen memasukkan data menggunakan komputer riba.

Subramaniam (kanan) melihat sukarelawan Kospen memasukkan data menggunakan komputer riba.

“Bagaimanapun, terdapat sejumlah besar lagi peserta tidak didaftarkan ke dalam sistem terbabit disebabkan kekangan kelengkapan seperti komputer untuk memasukkan data di lokaliti masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada sukarelawan Kospen di Sekolah Kebangsaan Paya Jakas, Jementah, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Hassan Mohd Amin dan Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim.

Menurutnya, daripada data-data yang diperolehi, kementeriannya akan membuat penyelidikan tentang tahap kesihatan rakyat Malaysia bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan pada masa hadapan.

“Pasukan sukarelawan GsiM yang terdiri daripada masyarakat dilatih oleh Kementerian Kesihatan untuk melakukan aktiviti saringan kesihatan asas disamping dibekalkan alat pengukur tekanan darah digital, glucometer dan set mengukur indeks jisim tubuh.

“Daripada jumlah 250,000 penduduk yang melaksanakan aktiviti saringan, ianya melibatkan 4,841 lokaliti Kospen membabitkan bantuan kira-kira 12,800 sukarelawan berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, Kospen juga akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Felda, tempat kerja seperti kilang dan syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan sasaran 50,000 sukarelawan GsiM dapat dicapai.

(Visited 398 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: