Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Sukar cari buluh lemang

LABIS 12 Jun – Mungkin ramai yang mampu menahan bahang api ketika membakar lemang, namun tidak ramai yang mampu meredah hutan mencari buluh yang merupakan bahan terpenting untuk membuat lemang.

Selain berdepan ancaman pelbagai haiwan berbisa seperti ular yang gemar mendiami rumpun buluh, pencari buluh lemang ada kalanya turut berdepan ancaman haiwan lain seperti gajah.

Seorang pencari buluh lemang di Pekan Air Panas, Mohd. Fahmi Idris, 60 berkata, dia yang sudah hampir 10 tahun mencari buluh lemang sudah lali dengan pelbagai cabaran serta risiko ketika masuk hutan mencari buluh.

“Selain terserempak ular, tabuan dan penyengat, saya pernah tersrempak dengan kawanan gajah yang jaraknya lebih kurang 30 meter sahaja dari saya dua tahun lalu.

“Mujur gajah-gajah tersebut tidak menyedari kehadiran saya ketika itu dan saya sempat melarikan diri, jika tidak mungkin saya berdepan bahaya,” katanya kepada media baru-baru ini.

Katanya, dia yang dibantu oleh dua anaknya, Mohamad Hafiz,27, dan Mohamad Haikal, 18, mampu mengambil kira-kira 400 hingga 500 ruas buluh lemang sehari yang dijual dengan harga RM1 setiap satu.

Menurutnya, jika dahulu dia boleh mengambil buluh di sekitar kampung, namun sekarang kawasan yang ditumbuhi buluh semakin kurang kerana sudah dibersihkan dan ditanam sama ada getah atau kelapa sawit oleh peduduk kampung.

Fahmi menebang buluh yang sesuai digunakan untuk membuat lemang.

“Selain saya terdapat hampir 10 orang lagi pencari buluh lemang dan setiap seorang mendapat tempahan sekitar 10 ribu batang daripada peraih yang datang dari sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Sebenarnya kami tidak mampu memenuhi permintaan kerana kawasan yang ditumbuhi buluh semakin kurang dan terletak semakin jauh di dalam hutan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa meredah hutan melalui bekas jalan balak yang sudah dihakis air serta becak sejauh kira-kira empat kilometer ke dalam hutan untuk sampai ke kawasan yang terdapat buluh.

Katanya, walaupun tidak memerlukan modal yang besar, hanya berbekal sebilah parang dan gergaji, namun usaha mencari buluh lemang ini memerlukan kecekalan yang tinggi serta keberanian.

“Selain pacat dan nyamuk, kami terpaksa berhati-hati dan berdepan risiko dipatuk ular dan sengatan tabuan yang menjadikan rumpun buluh sebagai habitat mereka.

“Selain sebagai punca rezeki, usaha saya ini sedikit sebanyak mampu membantu memastikan lemang sebagai hidangan tradisi dan warisan orang Melayu tidak lenyap begitu sahaja. Selagi terdaya dan ada permintaan saya akan terus mencari buluh lemang pada masa akan datang,” katanya.

(Visited 165 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: