Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Segamat Pada Tahun 1917

Segamat berasal dari beberapa buah kampung yang terletak di tebing Sungai Segamat dengan pembinaan stesen dan jalan keretapi serta kehadiran ladang-ladang getah, bandar Segamat telah dapat dimajukan. Pertambahan penduduk dan kegiatan pertanian menyebabkan Segamat terpaksa dipisahkan dari pentadbiran Muar.

Gambar oleh: En. Mohd Fikri bin Abd Wahid | Jalan Sultan, Segamat pada tahun 1930

Gambar oleh: En. Mohd Fikri bin Abd Wahid | Jalan Sultan, Segamat pada tahun 1930

Pada tahun 1917 beberapa pejabat kerajaan sudah pun didirikan di Segamat. Antaranya ialah Pejabat Pegawai Daerah, Mahkamah, Pejabat Polis, Pejabat Syahbandar, Pejabat Kastam, Pejabat Tanah, Pejabat Pos, Pejabat Pertanian dan juga Lembaga Bandaran (Town Board). Bangunan-bangunan lain yang didirikan termasuklah Stesen Keretapi dan sebuah ‘Rest House’.

Gambar ihsan: Raja AbdulRahman Raja Basok | Perasmian Keretapi di Bandar Segamat pada tahun 1909

Gambar ihsan: Raja Abdul Rahman Raja Basok | Perasmian Keretapi di Bandar Segamat pada tahun 1909

Segamat seperti juga daerah-daerah Johor yang lain iaitu sebuah daerah pertanian. Hasil pertanian yang utama ialah getah, ubi sagu, gambir, lada hitam, kelapa dan lain-lain hasil tumbuhan dan hasil hutan.

Keadaan tanah daerah Segamat memang sesuai untuk getah. Jementah, Batu Enam, Buloh Kasap, Segamat dan Labis merupakan kawasan-kawasan yang produktif dengan hasil getahnya.

Ladang-ladang getah di kawasan-kawasan ini kebanyakannya kepunyaan pemodal-pemodal dan syarikat orang-orang Eropah. Berikut senarai Ladang Getah yang terdapat di Daerah Segamat pada tahun 1917:

• Ladang Getah Jementah
• Ladang Getah Gomali, Gemas.
• Ladang Getah Sungai Senarut.
• Ladang Johore Rubber Land, Division No. 2.
• Ladang Johore Rubber Land, Division No. 3.
• Ladang Getah Sungai Muar.
• Ladang Getah Buluh Kasap.
• Ladang Segamat, Johore Rubber Land, Division No. 1 dan 4
• Ladang Getah Labis Utara
• Ladang Getah Melville

Gambar oleh: Segamat Cricket Club | Segamat Rest House pada tahun 1927

Gambar oleh: Segamat Cricket Club | Segamat Rest House pada tahun 1927

Pada tahun 1917, Wilayah dimengertikan sebagai sebuah daerah terbesar yang mengandungi beberapa buah daerah di dalamnya.

Muar sehingga tahun 1910 mengandungi Daerah-daerah Parit Jawa, Cohong (Tangkak), Bukit Kepung (Lenga) dan Segamat Tiap-tiap daerah ditadbirkan oleh Pegawai Daerah masing-masing.

Manakala keseluruhan Muar dan daerah-daerahnya diperintah oleh Pesuruhjaya Kerajaan Bagi Muar (State Commissioner General for Muar).

Kawasan-kawasan inilah yang telah memajukan Segamat, manakala Labis merupakan kawasan yang kedua pentingnya selepas Segamat. Selain daripada itu, Buloh Kasap dan Genuang ialah pekan-pekan kecil yang sedang membangun pada tahun 1917.

Tanaman padi pernah cuba diusahakan dalam tahun 1910 tetapi gagal kerana musuh-musuh padi dan sistem parit dan tali airnya. Bagaimanapun dalam tahun 1917 percubaan menanam padi paya atau padi sawah telah dimulakan.

Seluas 100 ekar tanah paya telah dipagar kerana menurut laporan Pegawai Daerah Segamat pada tahun 1917, adalah dipercayai Wilayah Segamat telah banyak dimasuki oleh orang-orang dari Muar menumpang mencari kehidupan dan dipercayai itulah tanda majunya daerah Segamat.

Malah permintaan untuk mendapatkan tanah di bandar Segamat tetap bertambah walaupun harga tanah di Bandar Segamat dikatakan terlalu tinggi jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain dalam Negeri Johor.

Kemajuan Segamat juga dapat dibuktikan lagi berlandaskan perangkaan pendapatan daerah itu dari tahun 1913 hingga ke tahun 1917.

Peta oleh: Arkib Negara | Peta sawah padi di Gemereh, Segamat pada tahun 1940

Peta oleh: Arkib Negara | Peta sawah padi di Gemereh, Segamat pada tahun 1940

Pada tahun 1917 juga, selain daripada kehadiran bangunan, pejabat-pejabat kerajaan dan kedai-kedai, terdapat juga rumah-rumah sewa.

Jalanraya di bandar Segamat juga diterangi oleh lampu-lampu minyak di sebelah malamnya.

Jalan-jalan sekitar bandar Segamat dan pekan-pekan kecil sahaja yang dapat dikatakan baik, samada berlangkin ataupun berbatu merah.

Jalan perhubungan di kampung-kampung masih lagi tidak ditambak dengan batu dan kebiasaannya digunakan oleh kereta-kereta lembu.

Rancangan-rancangan pengeluasan Jalan dan Skim Jalanraya 1911 yang menghubungi kawasan luar dari Segamat sudah pun mula dilaksanakan sejak tahun 1914 lagi.

Kebanyakan jalan-jalan itu diambilalih oleh kerajaan daripada jagaan ladang-ladang getah. Dapatlah dikatakan jalan-jalan yang agak terpelihara ialah jalan dari ladang-ladang getah ke Stesen Keretapi Segamat, Labis, Batu Anam, Genuang, Buloh Kasap dan Tenang kesemuanya terletak dalam Daerah Segamat. Skim pembinaan jalanraya itu hampir selesai dalam tahun 1917.

Pada tahun 1917 juga, sungai masih lagi digunakan sebagai jalan perhubungan walaupun tidak sepenting tahun-tahun sebelum 1910.

Pejabat Syahbandar yang mentadbirkan hal-hal perjalanan keluar masuk melalui sungai-sungai di Segamat itu telah mendapat RM134.10 sebagai hasil kutipan dari bayaran lesen-lesen perahu pada tahun itu. Namun begitu penggunaan sungai ternyata berkurangan kerana kemerosotan ladang gambir dan lada dan pembinaan jalan keretapi dan jalanraya.

Mengenai pembinaan rumah-rumah kedai termasuk juga rumah sewa sudah mula merata-rata pekan ada orang mendirikan rumah sewa atap genting, zing, atap daun dan juga rumah batu. Oleh itu tidaklah hairan jika ‘Town Board’ Segamat mendapat RM947.00 hasil dari cukai pintu di bandar itu pada tahun 1910 dan sebanyak RM1,854.50 pula di tahun 1917.

Kekurangan bagi tahun 1917 adalah disebabkan oleh perpindahan penduduk daripada pekan-pekan ke kampung-kampung baru di luar bandar. Jika dahulu kelihatan pola penempatan yang bersejajar di tebing-tebing sungai, tetapi dalam tahun 1917 penempatan yang berselerak sudah jelas kelihatan.

Gambar oleh: Galeri Jementah | Pekan Jementah pada tahun 50an

Gambar oleh: Galeri Jementah | Pekan Jementah pada tahun 50an

Satu lagi proses yang berlaku di tahun 1917 ialah penempatan berpusat. Hal ini ketara sekali dengan adanya ladang-ladang getah itu.

Penyata Pegawai Daerah Segamat menyebutkan bahawa terdapat tiga Syarikat Ladang Getah terbesar di Segamat pada tahun 1917, iaitu Rubber Estate of Johore, Gomali Rubber Estate dan North Labis Estate.

Dari ketiga-tiga Syarikat Ladang Getah ini pentadbiran Segamat telah mendapat hasil cukai getah sebanyak RM45,400.00 dalam tahun itu. Namun demikian, ini tidaklah bermakna bahawa di Segamat tidak terdapat kebun getah usaha pekebun-pekebun kecil. Sebagai buktinya, dalam tahun 1916 Lesen “mengupam” getah (mengeluarkan getah keping) yang didapati ialah RM697.00 dan hasil ini meningkat kepada RM868.00 dalam tahun 1917.

Terdapat satu perkara yang menarik di Segamat, iaitu ladang ubi kayu. Walaupun di Muar ladang ubi kayu telah ditutup dan digantikan dengan tanaman getah, namun di Segamat kebun ubi kayu itu masih dapat diteruskan lagi.

Malah hasil sagu ubi kayu merupakan pengeluaran yang kedua pentingnya selepas getah. Begitulah juga halnya dengan perusahaan pinang. Sungguhpun Undang-Undang Kangcu telah dibubarkan pada tahun 1917, tetapi Segamat masih dapat meneruskan pengeluaran gambir dan lada hitamnya walaupun dalam angka yang merosot.

Pada tahun 1918 nyata sekali gambir dan lada hitam tidak lagi merupakan pengeluaran terpenting bagi Segamat. Terdapat juga satu masalah dalam usaha penduduk Segamat untuk bercucuk-tanam, terutamanya untuk berkebun getah. Ini adalah disebabkan oleh bahaya-bahaya dari binatang liar.

Kerajaan Johor cuba mengatasi masalah ini dengan mengeluarkan lesen senapang kepada mereka. Sambutan penduduk adalah menggalakkan. Menurut undang-undang pemilik senapang dikehendaki mengambil lesen dari Pejabat Polis dengan bayaran 50 sen dikenakan.

Gambar oleh: Media Prima | Bangunan lama Majlis Daerah Segamat pada tahun 1986

Gambar oleh: Media Prima | Bangunan lama Majlis Daerah Segamat pada tahun 1986

Pada tahun 1912, terdapat lima buah sekolah Melayu di daerah Segamat, kebanyakan sekolah-sekolah itu didirikan oleh penduduk kampung bangsa Melayu. Kerajaan hanya menyediakan guru dan alatan mengajar dan belajar.

Di Segamat pernah juga terdapat sebuah sekolah Inggeris. Guru Besarnya ialah seorang yang berbangsa Inggeris. Nasib Sekolah Inggeris ini tidak dapat diketahui selepas Guru Besarnya itu berhenti daripada berkhidmat dengan Kerajaan Johor dalam tahun 1915.

Bagi mengakhiri rencana ini elok juga dicatitkan bahawa Segamat adalah ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah yang ada kuasa Majistret. Di peringkat kampung pula terdapat Penghulu-penghulu dan Naibnya serta Ketua Kampung. Sistem pentadbiran mukim belum jelas lagi dalam tahun 1917.

Ini adalah disebabkan kerana sistem ‘Register Mukim’ menurut Undang-undang Tanah Tahun 1910 masih belum dilaksanakan. Pada tahun 1917 sistem ini hanya baru dilaksanakan di Muar dan Batu Pahat sahaja.

Gambar oleh: Majlis Daerah Segamat | Allahyarham Encik Menthol bin Hj. Ahmad pegawai daerah Segamat yang kedua

Gambar oleh: Majlis Daerah Segamat | Allahyarham Encik Menthol bin Hj. Ahmad pegawai daerah Segamat yang kedua

Pegawai Daerah Segamat dalam tahun 1917 ialah Encik Ahmad b. Abu Bakar. Beliau adalah dari golongan “orang kebanyakan” dan dilantik menjadi Pegawai Daerah Segamat yang ketiga sejak tahun 1915.

Sebelum itu, beliau telah bertugas sebagai ‘Pengadil’ atau ‘Majistret’ di Mahkamah Johor Baharu.

Pada tahun 1917, Pegawai Daerah Segamat telah dibantu oleh beberapa orang pegawai-pegawai lain. Berdasarkan “Singapore and Straits Directory” tahun 1919 masih belum terdapat seorang pun pegawai Inggeris di Segamat pada tahun itu. Hanya pada tahun 1922 baru ada dicatitkan nama F.K. Wilson sebagai ‘Assistant Adviser’ Segamat, manakala Pegawai Daerahnya pada masa itu ialah Encik Omar Endut. Patut juga dicatitkan ‘Assistant Adviser’ Inggeris itu mempunyai kuasa sebagai Pemungut Hasil Tanah dan Majistret Kelas Satu.

Pada keseluruhannya dapatlah dikatakan Segamat pada tahun 1917 berada dalam peringkat sedang membangun. Masa hadapan daerah Segamat lebih banyak bergantung kepada hasil getah, kewujudan jalan keretapi dan sistem jalanraya yang baik.

Perkembangan dalam bidang pelajaran di daerah itu masih memerlukan perhatian yang wajar. Dari konteks zaman sebelum Perang Dunia Kedua, Segamat telah mencapai tingkat kemajuannya pada tahun 1930an. Kemajuan ini menyebabkan taraf pentadbiran Segamat dinaikkan.

Ia tidak lagi ditadbir oleh Pegawai Daerah tetapi diperintahkan pula oleh seorang Pesuruhjaya Kerajaan. Mulai tahun 1933 Segamat telah disamatarafkan dengan pentadbiran Muar dan Batu Pahat sehinggalah meletusnya Perang Dunia Kedua.

Nota : Rencana ini bertujuan mengajak anda melihat secara ringkas perkembangan Daerah Segamat sesudah tujuh tahun dipisahkan dari wilayah Muar.

(Visited 3,139 times, 1 visits today)






Komen

error: