Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Segamat daerah pertama punyai hub aktiviti belia dan sukan

SEGAMAT – Daerah Segamat bakal menjadi daerah pertama di negeri ini yang mempunyai bangunan Hub Pusat Aktiviti Belia dan Sukan bernilai RM800,000 yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Ogos nanti.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, kerja-kerja pemilikan tapak telah bermula pada 2 Februari lalu dengan Majlis Daerah Segamat (MDS) dipilih sebagai agensi pelaksana.

“Apabila hub sukan ini siap, ia akan menjadi pusat rujukan belia berpersatuan dan tidak berpersatuan di daerah ini selain lokasi yang sesuai bagi mengadakan latihan kemahiran untuk belia dan komuniti.

“Selain itu, pusat pentadbiran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat, Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (JoyDec) dan Majlis Belia Daerah Segamat (MBDS) akan diletakkan di bawah satu bumbung bagi memudahkan urusan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Hub Pusat Aktiviti Belia dan Sukan Daerah Segamat yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Jalan Kolam Air, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pembinaan hub sukan ini juga dilengkapi dengan sebuah bangunan pejabat, dewan terbuka dan dua buah kabin dua tingkat sekaligus mengatasi masalah kesesakan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat di Jalan Awang, di sini.

“Buat pertama kalinya juga, kawasan ini turut menyediakan ruang aktiviti ‘Mobile Street Workout’ iaitu aktiviti riadah atau sukan jalanan yang kian popular dalam kalangan remaja tempatan yang menggabungkan elemen olahraga dan senaman.

“Kawasan ini turut dilengkapi gelanggang berbumbung dengan kemudahan seperti pentas, tandas dan bilik persalinan yang boleh dijadikan lokasi latihan sukan, senamrobik dan majlis rasmi berskala kecil,” katanya.

Menurutnya, hub sukan ini juga turut menggunapakai konsep Kilang Bateri di Johor apabila menggunakan dua kontena sebagai ruang perniagaan belia yang boleh dijadikan kafe, kedai gunting rambut dan kedai serbaneka.

Katanya, beliau berharap pembinaan hub sukan ini mampu mengatasi masalah gejala sosial di kalangan belia di daerah ini dengan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti bermanfaat di hub sukan tersebut.

(Visited 135 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: