Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Segamat cipta sejarah tersendiri

SEGAMAT – Daerah Segamat mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih menjadi lokasi pertama meraikan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang muncul juara Piala Superbest Power Piala FA menewaskan PKNS FC dengan jaringan 2-1 di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Tambah berharga, kemenangan tersebut berjaya menamatkan kemarau dan penantian 18 tahun bangsa Johor untuk membawa pulang semula piala berkenaan ke negeri ini selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 1998 yang ketika itu dikenali sebagai Johor FA.

Untuk rekod, JDT juga merupakan kelab pertama Malaysia menjulang Piala FA dalam sejarah 26 tahun kejuaraan itu dipertandingkan sejak tahun 1990 dan kali terakhir piala tersebut dimenangi oleh pasukan LionsXII pada tahun lalu.

Bagi Presiden Segamat Fans Club (SFC), Mohd Aidel Zahri, 31, berkata, kemenangan pasukan JDT itu dianggap sebagai hadiah dan kesungguhan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam mengubah lanskap bola sepak negara.

Kapten pasukan JDT, Mohd Safiq Rahim disambut oleh penyokongnya ketika tiba di Taman Yayasan, Segamat

Kapten pasukan JDT, Mohd Safiq Rahim disambut oleh penyokongnya ketika tiba di Taman Yayasan, Segamat

Menurutnya, bagi membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada JDT, SFC turut menyediakan dua bas khas untuk membawa penyokong JDT dari Segamat bagi menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut .

“Apa yang saya boleh katakan, satu lagi sejarah tercipta untuk bangsa Johor dan ini juga menunjukkan pasukan JDT berada dalam kelasnya yang tersendiri selepas memenangi Piala Sumbangsih.

“Bagi penyokong seperti kami, segala penat lelah dalam menyokong perjuangan JDT seolah-olah terbalas dan tambah puas, Segamat menjadi daerah pertama melihat piala tersebut,” katanya.

Bagi penyokong Saadiah Liham, 53, berkata, cuti peristiwa sempena kemenangan itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan membawa keluarganya ke Taman Yayasan, di sini, yang menjadi lokasi Kembara Mahkota Johor (KMJ) dan pada masa sama lokasi meraikan pemain JDT dan Piala FA.

Sultan Ibrahim julang piala FA di hadapan penyokong JDT di Taman Yayasan, Segamat

Sultan Johor julang piala FA di hadapan penyokong JDT di Taman Yayasan, Segamat

“Buat julung kalinya barisan pemain JDT datang ke daerah ini dengan membawa Piala FA dan saya tidak mahu melepaskan peluang ini memandangkan saya dan keluarga juga penyokong tegar JDT.

“Saya sangat terharu dan hampir menitiskan air mata kerana selain kemenangan ini, sukan bola sepak mampu menjadi medan permuafakatan dan penyatuan bangsa Johor,” katanya kepada Komuniti Segamat.

(Visited 633 times, 1 visits today)






Komen

error: