Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Sanggup tangguh pengajian untuk jaga bapa sakit

LABIS – Seorang anak di Taman Suria, di sini, sanggup menangguhkan pengajiannya selama satu semester di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) semata-mata untuk menjaga bapanya yang sedang sakit.

Nurul Atikah Halidek, 20, berkata, dia yang mengambil jurusan Rekaan Grafik di Kolej Cosmopoint Johor Bahru terpaksa berbuat demikian selepas bapanya, Halidek Dahalan, 51, disahkan menghidap penyakit strok pada bulan September tahun lalu.

“Ketika ayah disahkan sakit, saya sedang berada di penghujung semester empat dan selepas berbincang bersama ibu dan adik, mereka bersetuju dengan keputusan saya menangguhkan pengajian selama satu semester.

“Saya mahu menjaga ayah kerana selama ini dia yang banyak berkorban dan mencari duit untuk membesarkan kami sekeluarga dan bagi saya, sekarang masanya untuk saya membalas jasa dan budi baik ayah,” katanya.

Dia ditemui dirumahnya sewaktu menerima kunjungan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Mohd Azizul Ibrahim.

Menurutnya, bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini juga terpaksa berhenti kerja ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot manakala ibunya, Supiah Othman, 47, tidak bekerja.

“Selepas ayah tidak bekerja, memang terasa perbezaannya dan kini kami sekeluarga hanya mengharapkan adik bongsu saya, Mohd Alif, 19, yang kini bekerja di sebuah kedai alumininium di Pekan Labis.

“Selain strok dan keadaan kakinya yang lemah dan hampir tidak boleh bergerak, penyakit semput ayah juga semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehinggakan saya sendiri sedih melihat keadaannya itu,” katanya.

Menurutnya, ayahnya juga terpaksa memakai stoking khas yang dibeli di Hospital Daerah Segamat (HDS) berharga RM105 untuk sepasang bagi memastikan kaki ayahnya itu tidak mengalami kekejangan.

Katanya, selain itu, ayahnya juga tidak boleh menelan makanan dan terpaksa meminum susu tepung khas melalui tiub sehingga mengalami penurunan berat badan yang ketara kerana penyakitnya itu.

“Pernah saya memberinya makan, tetapi ayah memuntahkannya balik dan keadaan mukanya menjadi pucat. Sekarang ini, kami terpaksa menggunakan duit simpanan ayah untuk membeli susu yang bernilai RM500 sebulan.

“Sekarang ini, ayah lebih banyak berbaring dan duduk termenung di atas tilam di ruang tamu selain terpaksa mengharapkan kami untuk menguruskannya sama ada untuk memandikannya dan sebagainya,” katanya.

Azhar Ibrahim (2 dari kanan) ADUN Tenang bersama Azizul, Pegawai Kebajikan Masyarakat Segamat menyampaikan bantuan baru-baru ini.

Azhar Ibrahim, ADUN Tenang (2 dari kanan) bersama Mohd Azizul menyampaikan bantuan baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Azizul berkata, JKM juga akan meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada Halidek ini dalam masa terdekat selepas melihat sendiri keadaannya yang tidak berupaya menguruskan diri.

Katanya, selain itu, sebuah tandas khas untuk orang kelainan upaya (OKU) juga akan diberikan bagi memudahkan Halidek membuang air tanpa perlu pergi ke tandas.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank milik Halidek yang bernombor 01210018853521.

(Visited 186 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: