Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Rumah Terengganu di Segamat penuh sejarah

SEGAMAT – Rumah Bujang Berserambi Terangganu yang sangat unik mempunyai sejarahnya yang tersendiri terletak di Kampung Tonjos, Mukim Jabi, di sini, kira-kira lima kilometer dari bandar Segamat.

Rumah ini dimiliki oleh Allahyarham Haji Mohd Yassin Salleh dan kampung ini juga telah dibuka oleh bapa dan datuknya serta beberapa orang lagi yang menerokainya sehingga ke kawasan paya di Kampung Kadut, di sini.

Menurut Sudin Mohd Yassin, 85, berkata, arwah bapanya berasal dari Kampung Losong, Terengganu dan menelusuri tujuh lakor laut iaitu menyeberangi berliku-liku sungai untuk sampai ke kampung ini.

“Pak cik dilahirkan di rumah ini dan merupakan anak ke 12 daripada 16 adik beradik dan tujuan asal arwah bapa berhijrah ke Segamat juga tidak dapat diketahui mungkin kerana hendak mencari pengalaman.

“Oleh kerana arwah bapa pak cik seorang tukang kayu di Terengganu, maka dia telah mendirikan rumah Bujang Berserambi di kampung ini bersama datuknya sebelum berkahwin dengan arwah ibu saya yang merupakan penduduk tempatan,” katanya.

Struktur rumah yang masih kekal pada hari ini

Menurutnya, sebelum jalan raya dibina dari Segamat ke Buloh Kasap, rumah ini sudah pun wujud namun tarikh pembinaan rumah ini tidak dapat dipastikan kerana waris-waris yang mengetahuinya telah lama meninggal dunia.

Katanya, pembuatan rumah ini menggunakan kayu-kayu Penak dan Balau yang diupahkan kepada seseorang untuk memotong dan membelah batang pokok itu dan setelah kayu-kayu siap dipotong, kayu-kayu itu akan ditarik menggunakan kerbau ke tapak rumah.

Motif ukiran yang terdapat di dalam rumah ini

“Rumah ini dibina tanpa sebarang paku dan keseluruhannya hanya menggunakan pasak dan tanggam sahaja dengan cara teknik tradisional orang Terengganu dan rumah itu juga dihiasi dengan seni ukiran motif Terengganu yang terdapat pada ruang rumah ibu.

“Hanya terdapat satu bilik sahaja pada bahagian ruang rumah ibu dan ruang serambi pula dijadikan tempat belajar mengaji, tempat tidur bagi lelaki dan menyambut tetamu dan di ruang ini juga apabila tibanya bulan Ramadan akan diadakan kenduri pada tiap-tiap tahun,” katanya.

Pasak dan tanggam pada bahagian bumbung serambi

Jelasnya, pada bahagian belakang rumah terdapat ruang dapur dan ruang dapur asal juga telah dibuka manakala, pada bahagian luar sisi kanan ruang dapur terdapat kolah yang tinggi dan besar untuk tadahan air hujan.

Menurutnya, selain keunikan ukiran dan struktur rumah tradisional Terengganu, ketinggiannya juga sangat menarik kerana dibina bertiang tinggi dari aras tanah.

“Dahulu arwah bapa ada membela kerbau di bahagian bawah rumah itu dan kemudian kerbau itu ditambat di antara batang tiang utama rumah. Lantai kayunya sangat tebal dan setiap dalam lantai kayu itu dibuat lubang kecil kemudian dipasak menggunakan paku kayu satu persatu.

Keadaan kolah yang telah retak

“Dahulu kawasan kampung ini juga banyak harimau sehingga habis ternakan kerbau orang kampung dimakannya. Bagi tujuan keselamatan itu juga lah rumah ini dibina bertiang tinggi dari aras tanah,” katanya.

Menurutnya, atap rumah itu juga telah digantikan sebanyak tiga kali dari berlainan jenis atap iaitu atap ijuk yang diambil dari pangkal pelepah pokok kabung sebeli dan kemudian digantikan oleh atap cucuh sebelum menggunakan atap zink seperti sekarang,

Katanya, setelah ibu dan bapanya meninggal dunia, rumah ini mula ditinggalkan kosong dan diserahkan kepada adik perempuannya dan baru-baru ini, rumah itu telah disewakan untuk memastikan keadaan rumah terus terjaga.

Ketinggian lantai rumah yang tinggi dari aras tanah

Menrutnya, bagi mengenang jasa pembukaan kampung ini, sebatang jalan telah dinamakan sempena nama arwah bapanya iaitu Jalan Haji Mohd Yassin.

Sementara itu, bagi pengkaji sejarah dan senibina Segamat, Aisyamuddin Latip, 22, berkata, selain rumah-rumah limas yang terdapat di daerah ini, rumah Terengganu ini juga salah satu tarikan yang paling menarik di daerah ini.

Sudin (kiri) bersama Aisyamuddin

“Baru-baru ini saya telah melawat ke Muzium Terengganu, Kampung Losong dan Kampung Pulau Duyong dan setelah diperhalusi lagi kajian, rumah ini sebenarnya terdapat juga unsur gabungan senibina di Segamat cuma hanya diadaptasikan pada struktur tiang sahaja.

“Manakala, teknik pasak tiang rumah yang ada pada rumah ini tidak terdapat pada mana-mana rumah di Terengganu,” katanya.

Keadaan lakaran rumah Terengganu di Kampung Tonjos.

(Visited 1,168 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: