Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Rumah Limas Penghulu Semin

SENIBINA RUMAH LIMAS PENGHULU SEMIN KAMPUNG GELANG CHINCHIN, SEGAMAT

Sejarah Segamat kurang ditekankan atau difokuskan dalam senibina rumah-rumah Melayu. Majoriti rumah-rumah Melayu di daerah Segamat bercirikan rekabentuk Rumah Limas. Ini kerana sebelum berlaku perang dunia kedua, rumah-rumah limas di Segamat adalah paling termasyur. Hanya orang-orang yang berjawatan tinggi saja yang dibina bercirikan rumah-rumah limas.

Terdapat sebuah rumah limas yang terawal dibina di Kampung Gelang Chinchin. Tuan Ismail bin Jaafar adalah salah seorang cucu kepada pemilik rumah tersebut iaitu Penghulu Semin bin Abdul Rahman. Asal-usul Penghulu Semin dipercayai daripada Sumatera kemudian merantau dan menelusuri melalui sungai Muar. Keturunan beliau juga ramai yang menetap di Kampung Batu Badak, Segamat.

En. Ismail bin Jaafar. Cucu kepada Allahyarham Penghulu Semin.

En. Ismail bin Jaafar. Cucu kepada Allahyarham Penghulu Semin.

Berdasarkan tahun yang terdapat pada lantai simen rumah tersebut. Rumah itu dipercayai telah dibina pada tahun 1936. Menurut maklumat Tuan Ismail rumah tersebut sebenarnya telah dibina sebelum tarikh tersebut. Ada kemungkinan pada tahun 1936 rumah itu telah diperbesarkan lagi. Sebagai bukti boleh dilihat pada serambi dan tingkap yang telah dibina dalam keadaan baharu.

Asal rekabentuk rumah tersebut adalah sama seperti rumah-rumah limas yang terdapat di daerah Segamat. Ini kerana sebelum sekolah Gelang Chinchin dibina pada tahun 1938, pada bahagian bawah rumah tersebut adalah tempat belajar untuk pelajar Melayu. Ketika itu hanya seramai 20 orang murid sahaja dan seorang guru yang telah dibayar oleh orang-orang kampung.

Suasana rumah tersebut pada hari ini yang semakin usang. Bahagian anjung yang telah diperbesarkan oleh Penghulu Semin.

Suasana rumah tersebut pada masa kini yang semakin usang. Bahagian anjung yang telah diperbesarkan oleh Penghulu Semin.

Pada tahun 1938, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar telah berangkat memburu di sebuah kawasan hutan berhampiran Kampung Gelang Chinchin. Sekembalinya dari berburu, baginda telah menitahkan kepada Naib Penghulu Sermin agar mendirikan sebuah sekolah di Kampung Gelang Chinchin.

Baginda mahukan agar penduduk Kampung Gelang Chinchin mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya. Baginda juga bermurah hati mendermakan wang sebanyak lima ratus ringgit kepada penduduk Kampung Gelang Chinchin untuk mendirikan sebuah sekolah.

Penghulu Semin juga telah bermurah hati mewakafkan sebidang tanah seluas satu suku ekar untuk mendirikan sekolah. Bangunan sekolah itu didirikan hasil gotong royong dan pemuafakatan masyarakat penduduk Kampung Gelang Chinchin sendiri yang mana bangunan asalnya bertiangkan batang pinang dan beratapkan daun rumbia.

Kawasan bahagian bawah rumah atau dipanggil kolong.

Kawasan bahagian bawah rumah atau dipanggil kolong.

Tambahan lagi, menurut cerita Tuan Ismail pada ketika itu persahabatan Penghulu Semin dan Sultan Ibrahim sangat akrab.

Terdapat beberapa peristiwa yang telah berlaku ketika Sultan Ibrahim sedang masuk ke kawasan kebun di bukit Gelang Chinchin beliau hampir maut akibat disondol seekor seladang. Dengan keadaan pantas Penghulu Semin telah menyambar pada badan kemudian merebahkan seladang tersebut.

Penghulu Semin sangat mahir dalam memburu dan beliau sendiri mempunyai kebun dan menternak seladang dan rusa di kawasan bukit Gelang Chinchin.

Ketika majlis mesyuarat penghulu-penghulu, Penghulu Semin akan menghidangkan seekor seladang kecuali kepala seladang yang akan diberikan kepada sultan. Selain itu, sikapnya yang taat kepada sultan menjaga sebatang besar pokok durian khusus untuk sultan yang ditanam berhampiran Sekolah Kebangsaan Gelang Chinchin.

Apabila tiba musim durian Penghulu Semin akan memberikan buah durian dan lempok durian kepada sultan. Beliau juga akan mengisytiharkan kepada penduduk kampung jika ada yang berkenan ingin memberikan buah durian kepada sultan.

Pada tahun 1997, sekolah kabangsaan Gelang Chinchin mula diperluaskan lagi, pokok durian tersebut telah menghempap beberapa bilik darjah. Bagi tujuan keselamatan murid-murid di sekolah itu pokok durian tersebut terpaksa ditebang.

Beberapa cerita yang masih diingati Tuan Ismail, ketika Penghulu Semin bertolak ke Johor Bahru untuk menghadap sultan dengan menaiki kereta jenis Austin Lichfield bernombor pendaftaran S745. Secara tiba-tiba salah sebuah tayar kereta bocor dan menyebabkan beliau tiba lewat di Johor Bahru. Ketika beliau menghadap sultan beliau telah memberitahu masalah yang dihadapi. Dengan keizinan sultan keempat-empat tayar kereta beliau telah diganti baharu.

Keadaan kolah yang sudah pecah. Di situlah kanak-kanak seronok terjun dari anjung terus ke dalam kolah tersebut.

Keadaan kolah yang sudah pecah. Di situlah kanak-kanak seronok terjun dari anjung terus ke dalam kolah tersebut.

Pembinaan rumah itu berdasarkan cerita Tuan Ismail, ia telah dibina oleh seorang lelaki berbangsa cina yang digelar Ah Chai. Ah Chai adalah seorang tukang kayu di Kampung Gelang Chinchin. Beliau telah diupah oleh Penghulu Semin untuk membina rumah tersebut dan beberapa buah rumah di sekitar Mukim Sermin kerana kemahirannya menggunakan gergaji tangan.

Terdapat juga dua kolah di bahagian anjung dan dapur. Apabila tiba temasya mandi safar, kanak-kanak akan terjun atau melompat ke dalam kolah melalui tingkap di bahagian anjung rumah.

Penghulu Semin mula dilantik menjadi penghulu pada pertengahan tahun 40an. Beliau juga telah menerima Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S II) kerana beliau berkhidmat dengan cemerlang dan berintegriti lebih 20 tahun dengan kerjaan Johor.

Beliau juga seorang yang berkelakuan baik dan memelihara maruah raja dan negeri. Penghulu Semin dikenali ramai di seluruh negeri Johor pada ketika itu. Penghulu Semin telah dikebumikan di Kampung Sulir.

Lantaran lagi, sangat mendukacitakan apabila orang ramai mula melupakan jasa-jasa beliau yang telah banyak membangunkan kampung itu, tegas Tuan Ismail.

“Tapi itulah kadang-kadang orang-orang mungkin terlepas pandang. Tiada langsung kenangan” jelasnya lagi.

Kini dalam usia beliau yang semakin meningkat beliau berharap akan ada pihak yang cuba menghargai jasa-jasa Penghulu Semin sebagai mengenangkan jasa dan sumbangan beliau terhadap pembangunan dan kemajuan Kampung Gelang Chinchin.

Keadaan rumahnya yang semakin usang semoga akan ada beberapa pihak yang cuba memperbaiki rumah tersebut supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Senarai lokasi rumah-rumah Limas di Segamat berdasarkan didalam gambar :

Gambar oleh: Aisyamuddin Latip | Gambar berikut adalah kompilasi rumah-rumah Limas di sekitar daerah Segamat.

Gambar oleh: Aisyamuddin Latip | Gambar berikut adalah kompilasi rumah-rumah Limas di sekitar daerah Segamat.

  • Kg. Batu Badak
  • Kg. Gudang Garam
  • Kg. Lubok Batu.
  • Kg. Sermin
  • Kg. Sungai Siput
  • Kg. Pogoh
  • Kg. Kuala Paya
  • Kg. Sanglang
  • Kg. Jawa
  • Kg. Batu Mentaus
  • Buloh Kasap
(Visited 1,234 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: