Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Resah diserang ribuan ulat bulu

LABIS – Penghuni beberapa buah rumah di Perumahan Awam Labis, di sini, resah dan mengalami kegatalan pada seluruh badan apabila kawasan rumah mereka diserang oleh ribuan ulat bulu secara tiba-tiba sejak seminggu lalu.

Penduduk, Zahid Abdul Ghani, 38, yang sudah lapan tahun tinggal di kawasan tersebut berkata, ini bukan kali pertama rumahnya diserang ulat bulu dan boleh dikatakan setiap tahun ulat bulu tersebut akan muncul terutamanya ketika musim panas atau kemarau.

Mohsin menunjukkan ulat bulu yang terdapat di kawasan rumahnya.

Mohsin menunjukkan ulat bulu yang terdapat di kawasan rumahnya.

“Apa yang menghairankan, kami di sini tidak tahu dari mana datangnya ulat bulu ini semua kerana ulat bulu tersebut hanya merayap di atas tanah sahaja dan tidak seekor pun yang saya jumpa di pokok seperti kebiasannya.

“Kebiasaannya, ulat bulu ini akan keluar dengan banyak pada waktu pagi sebelum hilang menjelang tengah hari dan masalah serangan ulat bulu ini akan berlarutan kira-kira dua atau tiga minggu sebelum ianya hilang begitu sahaja,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih serius sejak beberapa haru lalu lalu apabila kewujudan ulat bulu sepanjang antara tiga hingga lima sentimeter itu semakin bertambah dan mula memasuki ke dalam rumah penduduk.

Zahid Abdul Ghani.

Zahid Abdul Ghani.

Seorang lagi penduduk, Mohsin Bachok, 49, berkata, dia terpaksa menggunakan racun serangga bagi membunuh ulat bulu tersebut apabila ia merayap pada pakaian di ampaian dan di dalam rumah namun mendapati cara berkenaan kurang berkesan.

“Saya sekeluarga rasa tidak selesa disebabkan keadaan ini dan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga walaupun di dalam rumah kerana tidak mahu mengalami gatal-gatal serta bengkak pada bahagian kulit.

“Disebabkan kehadiran ulat bulu tersebut, kebanyakan kanak-kanak tidak boleh bermain di luar rumah kerana bimbang mengalami gatal-gatal dan keadaan tersebut sedikit sebanyak menganggu aktiviti harian kami di sini,” katanya.

Menurutnya, sejak lebih setahun tinggal di sini, ini merupakan kali pertama dia berhadapan masalah serangan ulat bulu walaupun menurut jiran-jirannya kejadian serupa pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Bagi jirannya, K.Nagamah, 53, berkata, dia terpaksa membawa cucunya, V.Pertivan, 8, mendapatkan rawatan di klinik beberapa hari lalu selepas cucunya mengalami gatal-gatal dan bengkak pada bahagian badan selepas bermain di luar rumah.

Ulat bulu yang menimbulkan kegelisahan kepada penduduk.

Ulat bulu yang menimbulkan kegelisahan kepada penduduk.

“Setiap pagi saya terpaksa membunuh ratusan ekor ulat bulu yang merayap di lantai bahagian hadapan rumah dan keadaan lebih buruk pada waktu malam kerana ada kalanya ia merayap di atas tilam menyebabkan cucu-cucu saya diserang gatal dan miang.

“Saya berharap pihak berwajib dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini kerana saya bimbangkan kesihatan kami sekeluarga dan buat sementara ini, saya terpaksa menutup tingkap dan pintu rumah saya sentiasa,” katanya.

(Visited 403 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: