Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Ramai tidak tahu IPG

SEGAMAT – Kerajaan meminta Lembaga Getah Malaysia (LGM) supaya lebih kerap turun padang berjumpa dengan pekebun kecil getah kerana ada di antara mereka yang masih tidak memahami penawaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, beliau mendapat maklumat masih terdapat segelintir pekebun kecil getah terutamanya di kawasan pedalaman yang tidak tahu mengenai kewujudan IPG tersebut

“Insentif ini bertujuan meringankan beban pekebun kecil di seluruh negara kesan kejatuhan harga getah di samping memberi galakan kepada mereka terus menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran.

“Pada tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk IPG dan sehingga kini, kurang daripada 10 peratus daripada jumlah peruntukan tersebut dituntut oleh pekebun kecil getah,” katanya.

Tee Yong menunjukkan carta alir proses pembayaran IPG di Pejabat LGM Wilayah Selatan

Tee Yong menunjukkan carta alir proses pembayaran IPG di Pejabat LGM Wilayah Selatan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis berkata kepada pemberita selepas melawat Pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Selatan.

Menurutnya, beliau berharap penduduk di kawasan luar bandar di negara ini yang menjadi kumpulan sasar bagi pelbagai program sosio-ekonomi kerajaan termasuk IPG ini digesa memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Semua inisiatif pembangunan ini melibatkan dana besar daripada kerajaan persekutuan serta negeri dan memberi faedah kepada rakyat terutamanya penduduk miskin di luar bandar termasuk pekebun kecil getah ini.

“Seperti IPG, insentif ini akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 Freight On Board (FOB) berada pada paras RM5.10 sekilogram atau harga peringkat ladang berada pada paras RM2.20 sekilogram dan ke bawah,” katanya.

Pada masa sama, mengikut bancian yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) daerah Segamat, terdapat sebanyak 5,791 pekebun kecil getah yang berdaftar di kawasan Parlimen Labis.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, jumlah pekebun kecil getah yang menerima kad pengenalan pekebun kecil (SIC) sebanyak 1,559 orang dan ini menunjukkan terdapat bilangan besar pekebun kecil getah di Parlimen Labis yang belum menerima SIC tersebut.

“Kad SIC Risda ini penting untuk pelaksanaan pada masa akan datang di mana saya mendapat tahu terdapat rancangan seperti insentif penanaman semula dan meningkatkan pengeluaran getah hanya akan diberikan kepada pemegang kad ini sahaja.

“Jadi, saya berharap pihak Risda dan LGM dapat melakukan siri-siri penerangan kepada pekebun kecil seperti isu kad Permit Autoriti Transaksi getah (PAT-G) bagi LGM dan proses tuntutan skim IPG ini,” katanya.

(Visited 256 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: