Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Penjual sate novelis terkenal

SEGAMAT – Melihat raut wajahnya yang semakin berkedut dimamah usia dan kegigihannya mengayuh pedal basikal tua, tiada siapa menyangka seorang warga emas yang tinggal menyewa di Jalan Temenggong, di sini, merupakan seorang novelis terkenal tanah air.

Tambah mengejutkan, salah satu novel tulisannya yang berjudul ‘Senjakala’ juga pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1988 hingga 1992.

Baharuddin Kahar, 70, berkata, kini beliau hanya menyara hidupnya dengan menjual sate di sebuah kedai makan di Jalan Kolam Air, di sini, dengan menaiki basikal selain turut aktif menulis cerpen dan novel ketika waktu lapangnya.

“Selain menulis, setiap hari pak cik akan menjual sate kerana ini sahaja pendapatan pak cik dan walaupun orang lihat kehidupan pak cik seperti serba kekurangan, pak cik gembira dengan kehidupan pak cik sekarang ini.

“Dahulu, pelbagai pekerjaan yang pernah pak cik lakukan sebelum menjadi penulis termasuk menjadi buruh, peniaga, pemberita di sebuah akhbar tempatan selain guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Perak,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Mahu menjadi pemuzik

Menurut novelis kelahiran Tanjung Rambutan, Perak, itu, pada mulanya, beliau berhasrat untuk menjadi pemuzik yang berjaya kerana menggemari muzik namun, bidang tersebut tidak berhasil menyebabkan dirinya beralih arah kepada bidang penulisan pada awal tahun 1970-an.

Katanya, keterlibatannya dalam dunia penulisan juga bermula daripada pembacaan novel Salina karya A. Samad Said ketika umurnya 17 tahun apabila salah seorang rakannya datang dan memberinya novel tersebut.

Jelasnya, setelah selesai membaca novel berkenaan, keinginannya untuk menulis semakin membara sehinggalah terhasil beberapa buah cerpen dan esei ringan pada sekitar tahun 1970-an.

“Cerpen pertama pak cik berjudul ‘Abah Nak Jumpa Abang’ tersiar dalam Utusan Zaman pada 18 April 1971 dan cerpen ini menjadi pendorong buat pak cik untuk menghasilkan cerpen-cerpen yang bermutu hingga berjaya meraih beberapa habeliauh menerusi sayembara sastera.

“Selain menulis cerpen dan novel, dahulu pak cik juga pernah menulis puisi dan sehingga kini lebih kurang 40 buah puisi telah tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar, namun kehadiran pak cik dalam genre ini tidak begitu ketara dan kurang diperhatikan,” katanya.

Ambil masa dua minggu

Baharuddin bersama novel Senjakala.

Menurutnya, antara karyanya yang sehingga kini mendapat perhatian ialah novel Senjakala sehingga melayakkan dirinya memenangi habeliauh ‘Zamalah Sastera’ dan merupakan penerima kedua anugerah ini selepas Sasterawan Negara, Usman Awang pada tahun 1985.

Katanya, beliau mengambil keputusan untuk menghasilkan Senjakala dan menzahirkannya dalam bentuk penulisan pada tahun 1985 selepas hampir setahun memendam idea dan jalan cerita novel tersebut di dalam fikirannya.

“Ketika itu pak cik menulis jalan cerita Senjakala dengan hanya menggunakan tulisan tangan sahaja dari pagi hingga ke malam manakala salah seorang rakan yang tolong menaip menggunakan mesin taip.

“Pak cik terpaksa menyiapkannya dalam masa dua minggu kerana pada tahun 1985 kerajaan Malaysia menghantar pak cik untuk mengikuti kursus penerbitan di Turin, Itali dan di Hertlepool, England,” katanya.

Beberapa naskah novel hasil karya Baharuddin

Beberapa naskah novel hasil karya Baharuddin

Menurutnya, beliau juga tidak menyangka Senjakala terpilih untuk memenangi hadiah Zamalah Sastera pada tahun yang sama novel tersebut diterbitkan selain menerima wang royalti yang agak lumayan ketika itu.

Katanya, sehingga kini beliau pernah menghasilkan lebih daripada 10 buah novel yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala novel Senjakala pula telah diulang terbit kali ketujuh pada tahun lalu.

Jelasnya, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan ini apabila manuskrip novel ‘Ceritera Dari Pinggir Taman’ setebal 500 muka surat hilang dalam simpanannya pada tahun 2010.

“Ketika itu novel tersebut sudah hampir disiapkan dan disebabkan masalah pada komputer riba, semua manuskrip itu hilang dan pak cik terpaksa menulis semula daripada awal dan novel tersebut diterbitkan pada tahun 2012,” katanya.

Menulis selagi ada kudrat

Baharuddin Kahar tetap menulis novel pada waktu lapangnya.

Baharuddin Kahar tetap menulis novel pada waktu lapangnya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, kegagalannya dalam perkahwinan terdahulu bersama bekas isterinya, Esah Abu Bakar, 65, juga tidak mematahkan dan melunturkan semangatnya untuk terus menulis

“Selagi ada kudrat, pak cik akan terus menulis dan menjual sate dan kadang-kadang ada juga pihak sekolah dan universiti yang menjemput pak cik untuk menyampaikan ceramah penulisan kreatif.

“Pak cik lebih suka merendah diri dan kegembiraan pak cik apabila empat anak pak cik semuanya melanjutkan pelajaran ke universiti manakala anak kedua pula menujukkan minat dalam bidang penulisan,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan pihak DBP juga sering melawatnya di Segamat selain memberikannya peluang menzahirkan pandangannya terhadap bidang penulisan negara di seminar-seminar yang diadakan.

Katanya, walaupun sudah bercerai, dia masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa dan semenjak bekas isterinya sakit sejak beberapa tahun lalu, beliau sering berulang alik menaiki basikal ke rumah bekas isterinya untuk menghantar makanan dan membelikan ubat.

Nama :
Baharuddin Buyung Kahar

Tarikh lahir :
24 Disember 1946

Asal :
Tanjung Rambutan, Perak

Anak :
Shuhada, 28,
Marwan, 26
Siti Fatimah, 23
Siti Solehah, 21

(Visited 17,536 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: