Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Pengorbanan bapa ajar mengaji membuahkan hasil

LABIS – Usaha seorang bapa di Kampung Tenang, di sini, mendidik anak sulungnya mengaji Al-Quran sejak berusua lima tahun berbaloi selepas anaknya berjaya meraih naib johan qariah pertandingan tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan di Air Keroh Melaka, baru-baru ini.

Jaafar Ibrahim, 67, berkata, anaknya, Nur Ruzana Natiah, 34, juga sempat menghubungi dia dan isterinya, Raniah Asari, 62, untuk memohon restu dan mendoakannya sebelum dia mengalunkan bacaannya.

“Sebenarnya keadaan kesihatan dia tidak begitu baik sejak pertandingan tilawah peringkat negeri Selangor kerana batuk berpanjangan dan dia pada awalnya mahu menarik diri tetapi kami menghalangnya.

“Ini merupakan kali ketiga dia mewakili negeri Selangor di peringkat kebangsaan dan kali pertama adalah pada tahun 2010 di Sabah dimana ketika itu dia mendapat tempat ketiga sebelum mendapat naib johan pada tahun 2014 dan tahun ini,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, dia dan isterinya juga mengikuti secara terus pertandingan tersebut di televisyen sejak 2 April lalu dan selepas anaknya diumumkan sebagai naib johan, dia dan isteri hanya mampu bersyukur dan memanjatkan pujian ke atas Allah SWT.

Katanya, bakat Nur Ruzana yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu juga mula menonjol sejak usianya tujuh tahun dan ketika itu dia sendiri yang mengajar anaknya mengaji termasuk dari segi tajwid dan taranum.

“Kemudian dia bersekolah di Sekolah Menengah Al-Khairiah Segamat sebelum ke Maahad Johor dan ketika itu bakatnya dalam bidang tilawah Al-Quran semakin jelas kelihatan dan pernah mendapat johan peringkat negeri dalam pertandingan berzanji.

Nur Ruzana Natiah Jaafar

“Ruzana juga pernah menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan kerana masalah kewangan kerana ketika itu pak cik hanya bekerja kampung dan dia juga pernah mencuba nasib bertanding tilawah di peringkat negeri namun tidak ada rezeki ketika itu,” katanya.

Menurutnya, selepas Ruzana berkahwin, dia mengikut suaminya menetap di Kajang, Selangor dan bekerja sebagai guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) selama 12 tahun sebelum berhenti untuk memberi tumpuan kepada mengajar mengaji dan membuka kelas agama.

Katanya, dia yang juga orang kelainan upaya (OKU) kerana mengalami kecacatan kaki juga mengingatkan anak-anaknya agar sentiasa berpegang kepada ajaran Al-Quran dan sunnah yang akan menjadi penyelamat kepada dirinya ketika hari kiamat dan di akhirat kelak.

“Pak cik juga pernah empat kali memenangi johan tilawah peringkat kebangsaan bagi kategori OKU dan sekarang ini pak cik dan isteri hanya menghabiskan masa dengan mengaji dan mengajar al-Quran untuk orang dewasa.

“Sebagai bapa, saya sentiasa berdoa agar dia mampu untuk menjadi johan peringkat kebangsaan suatu hari nanti selain jangan pernah kedekut untuk mengajar al-Quran kerana ini merupakan salah satu jariah kita di dunia,” katanya.

(Visited 113 times, 1 visits today)






Komen

error: