Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Peneroka kesal kebun dipenuhi semak samun

LABIS – Seramai 79 peneroka peringkat dua Felda Tenang, di sini, mendakwa kebun mereka tidak diuruskan dengan baik oleh pihak bertanggungjawab apabila mendapati sebahagian besar anak benih pokok kelapa sawit di kebun mereka yang mati akibat diserang kumbang.

Peneroka, Abdul Wahab Mokhtar, 76, berkata, dia berasa terkilan apabila anak benih yang mati dan terencat akibat serangan kumbang itu masih belum diganti dengan benih baharu walaupun masalah tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan.

“Kami bimbang jika tiada tindakan segera diambil kebun kami tidak mengeluarkan hasil seperti diharapkan pada masa sepatutnya dan akibatnya kami terpaksa menanggung hutang dalam tempoh yang panjang.

“Sekiranya pokok yang mati tidak disulam dengan benih baharu dengan segera, kami bimbang akan berlaku sebahagian pokok sudah besar sementara sebahagian lagi nanti masih kecil sekaligus menjejaskan pendapatan kami,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Katanya, peneroka menyerahkan urusan tanaman semula kebun mereka kepada Felda kerana yakin dengan kemampuan pihak pengurusan Felda sebelum ini untuk menguruskan kebun mereka dan berharap agar mereka tidak dikhianati dengan pengurusan yang tidak sempurna.

Peneroka Felda Tenang menunjukkan pokok kelapa sawit yang terbantut.

Peneroka Felda Tenang menunjukkan pokok kelapa sawit yang terbantut.

Sementara itu, Roszat Ali, 52, yang mendakwa hampir separuh anak pokok kepala sawit dikebunnya mati serta terencat dan mahu semua pokok yang mati diganti dengan benih baharu bagi menjamin kebunnya mampu mengeluarkan hasil pada waktu yang sepatutnya.

Roszat Ali

Roszat Ali

“Pihak pengurusan yang diberi amanah harus sedar bahawa kerja-kerja menguruskan projek tanam semula di kebun kami bukannya dilakukan secara percuma sebaliknya peneroka terpaksa membayar semua kos terbebut apabila kebun kami mengeluarkan hasil nanti.

“Sewaktu menandatangi perjanjian, mereka berkata penyerahan kebun ini bertujuan supaya hasil tanaman sawit peneroka meningkat sekali gus memakmurkan ekonomi semua pihak dan kini apa yang berlaku pula adalah sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, saiz pokok sawit di kebun mereka kini semakin mengecil kecil dan kebun-kebun peneroka juga kelihatan seperti tidak diurus dengan betul apabila pokok kekacang yang menjadi tanaman penutup Bumi kini melingkari sekeliling pokok-pokok sawit berkenaan.

Bagi Mohamad Mohd Dah, 81, berkata, kebun mereka ditebang sekitar bulan Mac 2013 dan mula ditanam dengan benih baharu pada Jun 2014 dan pokok kelapa sawit yang ditanam sepatutnya sudah mencapai ketinggian lebih satu meter berbanding hanya tidak sampai semeter ketika ini.

Mohamad Mohd Dah

Mohamad Mohd Dah

“Kebanyakan pokok di kebun kami diserang oleh kumbang menyebabkannya mati dan tidak kurang juga yang terencat pembesarannya apabila tiada pucuk baharu yang tumbuh selain terdapat banyak pokok yang bercabang dua.

“Kami berasa kurang yakin pokok yang terencat pembesarannya boleh pulih semula dengan cara membuang satu daripada tunas pokok yang bercabang dua seperti yang disarankan oleh pihak pengurusan terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia berharap masalah yang dihadapi oleh mereka ini mendapat perhatian segera pihak bertanggungjawab kerana jika perkara ini dbiarkan berterusan, kerugian yang dialami oleh peneroka akan menjadi semakin besar.

(Visited 298 times, 1 visits today)






Komen

error: