Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

MDS lancar kereta peronda Jabatan Penguatkuasaan

SEGAMAT – Bagi menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan, Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Segamat (MDS) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kereta perondanya sendiri, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Miswan Yunos berkata, reka bentuk kenderaan peronda ini akan melambangkan imej korporat Jabatan Penguatkuasaan MDS supaya lebih mudah dikenali oleh masyarakat setempat.

“Selain itu, saya yakin selepas ini kami akan lebih dekat dengan rakyat di dalam kawasan pentadbiran MDS terutamanya kepada pembayar-pembayar cukai dan inisiatif ini pertama kali diwujudkan oleh MDS.

“Ini juga bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan selain menjadi salah satu nilai tambah apabila MDS dinaiktaraf kepada majlis perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Mesyuarat Penuh MDS Bulan September 2017 dan Majlis Pelancaran Reka Bentuk Baharu Kenderaan Penguatkuasa di MDS, di sini.

Menurutnya, selain itu kenderaan ini juga akan berfungsi sebagai kenderaan pengiring, menerima aduan dan mengambil tindakan pemeriksaan dan penguatkasaan serta menjalankan rondaan dan pemeriksaan di dalam kawasan pentadbiran MDS.

“Selain itu, fungsi lain kenderaan ini adalah untuk mengawasi penjaja di kawasan larangan menjaja tanpa lesen, membuat pemeriksaan lesen iklan, sitaan cukai harta, penjaja, operasi motosikal dan lain-lain.

“Saya berharap, de­ngan adanya kenderaan Jabatan Penguatkuasaan ini akan mengatasi masalah yang biasa dihadapi oleh pembayar cukai selain dapat meningkatkan lagi imej korporat MDS,” katanya.

Pada masa sama, MDS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, SWCorp, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) akan meneruskan usaha-usaha mencegah dan memusnahkan tempat pembiakan denggi.

Katanya, selain itu, Unit Vektor MDS juga telah diarah untuk bersama-sama Ahli Majlis untuk melaksanakan operasi denggi ini terutamanya ketika musim tengkujuh yang boleh menyebabkan peningkatan kes denggi di daerah ini.

(Visited 37 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: