Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Masalah banjir kilat kantin SJKT Labis akan diselesaikan

LABIS – Masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Labis, di sini, akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama semua pihak.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai masalah tersebut oleh salah seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, baru-baru ini.

“Saya secara peribadinya berasa sungguh kecewa kerana masalah ini lambat dibangkitkan kepada saya sedangkan saya sudah beberapa kali pergi ke sekolah ini sama ada melakukan lawatan atau mengadakan program.

“Saya terkejut kerana masalah banjir kilat ini sudah berlarutan hampir empat tahun dan disebabkan itu pada hari ini saya mengambil keputusan untuk melihat sendiri masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke SJKT Labis, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum ini juga terdapat pelbagai peruntukan yang diberi oleh kerajaan seperti peruntukan sebanyak RM50,000 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden pada awal Januari lalu namun tidak digunakan untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, beliau juga telah membawa masalah tersebut kepada Timbalan Menteri Pendidikan,, Datuk P Kamalanathan dan Kementerian Pendidikan juga bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM80,000 untuk menyelesaikan masalah banjir kilat berkenaan.

“Hasil tinjauan, masalah banjir ini bukan berpunca daripada kawasan sekolah atau kantin kerana puncanya disebabkan oleh longkang di luar kawasan sekolah dan saya memerlukan kerjasama Majlis Daerah Labis (MDL) dan SWM Environment untuk isu ini.

“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, saya akan meminta dua agensi ini untuk melakukan pembersihan longkang dan untuk jangka masa panjang, mungkin perlu dipohon peruntukan membesarkan longkang supaya masalah ini tidak berulang,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta pihak sekolah memanfaatkan mesyuarat PIBG untuk membangkitkan isu-isu yang memerlukan penyelesaian segera agar peruntukan yang ada tidak digunakan ke kawasan lain.

(Visited 55 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: