Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Komited teroka bidang pelancongan

LABIS – Koperasi Smilian Felten Johor Berhad (Komited) bercadang untuk memanfaatkan kekuatan produk berasaskan eko dan agro-pelancongan yang terdapat di daerah ini dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan berasaskan alam semulajadi dan budaya.

Pengerusinya, Hamdan Ibrahim, berkata, selepas berjaya membantu memasarkan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) milik ahli koperasi, pihaknya sentiasa memikirkan jalan untuk memastikan koperasi tersebut sentiasa aktif.

“Walaupun koperasi ini baharu setahun penubuhannya, itu bukan halangan bagi kami untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan selain tidak mahu ketinggalan dalam merebut peluang yang ada di sekeliling kami.

“Untuk perancangan awal, kami bercadang untuk menyediakan inap desa (homestay) kepada pelancong dan setakat ini, seramai 10 ahli koperasi telah bersetuju untuk menjadikan rumah mereka sebagai inap desa,” katanya.

Beliau berkata pemberita selepas Majlis Pelancaran Logo dan Plak Komited yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong di Dewan Semai Bakti Felda Tenang di sini baru-baru ini.

Menurutnya, permohonan untuk mewujudkan inap desa tersebut juga telah dihantar untuk mendapatkan kelulusan dan akan menjadi satu nilai tambah kepada usaha pemimpin setempat untuk menjadikan Labis sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Pada masa sama, keahlian Komited ketika ini adalah seramai 150 orang dan majoritinya ialah generasi kedua Felda Tenang yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim Labis tahun 1980 hingga 1984.

“Kami masih membuka peluang kepada mereka yang masih belum mendaftar untuk menyertai koperasi ini dan kami mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan Felda Tenang yang membenarkan kami menggunakan sebuah rumah guru sebagai pusat aktiviti.

“Selain aktif merebut peluang dalam bidang perniagaan, kami turut menghantar ahli menyertai pelbagai kursus serta seminar selain membantu menyediakan modal awal termasuk urusan permohonan peruntukan serta bantuan daripada mana-mana agensi,” katanya.

Sementara itu, Tee Yong berkata, pelbagai produk eko-pelancongan yang terdapat di sekitar Labis berpotensi untuk dibangunkan seperti perusahaan kraf, kolam air panas, air terjun dan alam semulajadi yang mampu menarik kedatangan pelancong luar.

Katanya, usaha yang dilakukan oleh koperasi ini juga membuktikan bahawa koperasi juga perlu meneroka bidang baharu serta mempelbagaikan aktiviti ekonomi ahli agar tidak terlalu bergantung kepada aktiviti tertentu sahaja.

“Pelaburan melalui koperasi seperti menyediakan inap desa ini juga dilihat bukan sahaja mampu memberi pulangan yang baik, malahan risiko yang ditanggung oleh ahli juga dapat dikurangkan melalui sistem pengurusan yang lebih profesional.

“Salah satu kekuatan koperasi adalah kemampuan mengumpul modal yang lebih besar daripada ahlinya bagi meneroka pelbagai bidang ekonomi baharu berbanding pelaburan secara individu yang agak terhad,” katanya.

(Visited 37 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: