Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

KKS2 serah sijil penghargaan kepada polis

SEGAMAT – Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2) menyerahkan skrol penghargaan kepada anggota Balai Polis Batu Anam, di sini, sempena sambutan kemerdekaan negara kali ke-60 dalam program Terjah Merdeka, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Akademiknya, Syilawati Zakarna berkata, penyerahan skrol penghargaan tersebut sebagai mengenang jasa serta pengorbanan anggota polis dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat termasuk KKS2.

“Terjah Merdeka ini merupakan salah satu pengisian Program Ekplorasi Warisan dan Budaya sempena kemerdekaan ke-60 tahun dan kita turut melibatkan seramai 20 pelajar dalam program ini.

“Tujuannya adalah untuk menghargai jasa-jasa anggota keselamatan dalam menjaga keselamatan negara selama ini selain memupuk semangat patriotik kepada para pelajar kami,” katanya kepada wartawan.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mencuba pendekatan berbeza dengan menyuntik semangat dalam diri anak-anak muda agar sayang kepada negara dengan mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang program tersebut.

Katanya, aktiviti patriotik seperti ini juga akan dilaksanakan secara konsisten setiap tahun sebagai salah satu proses pengajaran dan pembelajaran terutama dalam usaha melahirkan para pelajar KKS2 yang berkualiti.

“Di KKS2 ini, sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan untuk membangkitkan semangat kerana perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam dan tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama sahaja.

“Jadi, kami berharap program seperti ini mampu memberi impak positif kepada pelajar KKS2 dan apa yang paling penting usaha perlu terus dilakukan agar kemerdekaan negara ini terus terjaga,” katanya.

Dalam program kira-kira 30 minit itu, skrol penghargaan telah diserahkan kepada Ketua Balai Polis Batu Anam, Sarjan Mejar (SM) Suhaimi Shariff.

(Visited 40 times, 1 visits today)






Komen

error: