Sejarah Padang Besar Segamat bermulanya pada tahun 1910 apabila laluan keretapi siap dibina di Segamat. Pada sekitar tahun 1930 Bandar Segamat mula mencapai kemajuan yang setanding dengan daerah-daerah di Johor.

Sebelum Jepun masuk ke Tanah Malayu, di Segamat selalu mengadakan temasya berjoget di Padang Besar terutamanya ketika menyambut Hari Keputeraan Sultan Ibrahim dan juga menyambut Hari Jadi Kelab Segamat. Pada 17 September 1925 tiap-tiap tahun itulah hari yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak sekolah Melayu dan penduduk Segamat.

Ramai orang dari kampung dan ada juga yang luar daripada Segamat juga hadir ke bandar Segamat kerana hendak melihat Temasya Sukan “Sport” yang diadakan dari jam 2 hingga 5 petang di Padang Besar bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Gambar Oleh: Singapore Archive | Dataran Segamat pada tahun 1936 ketika sambutan hari Agrikultur Segamat. Lokasi ini sekarang adalah menara bendera.

Pada tahun pemerintahan Jepun dalam tempoh setahun ada empat kali Hari Kebesaran Jepun. Kanak-kanak sekolah bersukan di Padang Besar. Ada hadiah yang diperbuat daripada ubi kayu. Seminggu sekali diadakan senaman beramai-ramai di Padang Besar yang terdiri daripada orang-orang kerajaan.

Selepas mendengar Kimpitai Jepun memberi nasihat dan ditamatkan dengan lagu Kebangsaan Jepun “Kimi Gayo”, kemudian semua bersurai untuk menuju ketempat kerja masing-masing. Selepas Jepun kalah pada tahun November 1945 kerana bandar Hiroshima dan Nagasaki telah dibom pada tahun 6 dan 9 Ogos 1945. Mereka tidak berkuasa lagi di Daerah Segamat.

Pasukan askar bersongkok bucu lima atau Bintang Tiga atau pasukan Komunis Malaya (P.K.M) tiba-tiba muncul keluar beramai-ramai siap dengan senjata masuk ke dalam bandar Segamat yang tidak tahu dari mana datangnya. Sesetengahnya adalah orang dari bandar Segamat juga yang cuba mengambil alih semua pejabat kerajaan terutama Balai Polis, Pejabat Kerajaan, Hospital dan Keretapi.

Gambar Oleh: Media Prima | 3 Julai 1966 Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sedang memeriksa satu perbarisan pergerakan Kaum Ibu UMNO, Segamat dalam satu rapat umum di padang Segamat, Johore

Ramai anggota-anggota polis telah terkorban kerana itu adalah musuh ketat mereka. Mereka juga telah dibunuh dan beberapa anggota polis dipenggal kepalanya di Padang Besar. Semua anggota-anggota polis menyembunyikan diri sehingga negeri menjadi aman.

Setiap rumah di sekitar kawasan Segamat digeledah kalau ada anggota polis bersembunyi. Pemerintahan Komunis cuma berkesempatan menguasai selama dua minggu saja di Segamat. Selepas itu, askar bersatu telah masuk ke bandar Segamat. Pihak Komunis tidak boleh buat apa-apa lagi.

Pada tahun 3 Julai 1966 Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah menghadiri mesyuarat UMNO di bandar Segamat. Beliau memberi ucapan di Padang Besar, Segamat. Pada tahun 1966 permohonan bantuan telah diluluskan oleh kerajaan dan tahun 1967, pembinaan bangunan sekolah arab mula dbina iaitu Sekolah Arab Gubah, Segamat (Madrasatul Arabiah Al-Khairiah).

Pada tahun 1996 Padang Besar Segamat telah dijadikan sebagai tempat utama berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Johor. Selepas diubahsuai panggilan Padang Besar Segamat tidak lagi digunakan oleh orang-orang Segamat. Padang Besar Segamat telah digantikan dengan nama Dataran Segamat. Dataran Segamat mula menjadi mercu tanda pertama di daerah Segamat.

Dataran Segamat dan Menara Jam pada tahun 1995.

Pengubahsuaian telah dilakukan dan menara jam pada tahun 1996 mula siap dibina. Pada awal tahun 90-an itu juga dua buah bangunan Kelab Melayu telah dirobohkan. Sebuah bangunan terletak di hadapan bangunan Jakel Trading dan sebuah lagi adalah di tapak menara bendera yang sekarang ini.

Pada Tahun 2005, Segamat sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor dan replika durian dibina kerana memberi makna Segamat adalah daerah tanah raja buah-buahan malah menara bendera juga didirikan sebagai tarikan dan mercu tanda utama bandar Segamat yang dibina oleh syarikat Bina Mekar Sdn. Bhd manakala bagi tahun ini daerah Segamat terpilih sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2016 yang telah diadakan di Dataran Segamat pada 16 Ogos yang lalu.

Kini Dataran Segamat menjadi destinasi pilihan keluarga untuk membawa anak-anak beriadah memandangkan pelbagai aktiviti menarik terdapat di sini termasuk senaman zumba, bermain kasut roda, belon buih gergasi juga pelbagai jualan oleh peniaga Bazar Karat Segamat yang diadakan pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Ahad.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-59!

(Visited 3,694 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!