Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Kilang memproses getah beku diberi tempoh 30 hari

SEGAMAT – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor memberi tempoh selama 30 hari terhadap sebuah kilang memproses getah beku di pekan Buloh Kasap, di sini, untuk menghapuskan masalah bau busuk.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata, dalam tempoh tersebut juga, pemilik kilang perlu menutup lubang-lubang yang terdapat di kawasan pemprosesan getah bagi memastikan bau busuk tidak terlepas keluar.

“Sekiranya pemilik kilang sudah menutup lubang namun bau busuk tersebut masih ada, JAS akan mengadakan mesyuarat ‘task force’ bersama pemilik kilang dan pemimpin setempat untuk mencari alternatif lain pula.

“Antara alternatif lain itu adalah meminta pemilik kilang ini supaya mencari kawasan lain yang lebih sesuai dan jauh daripada penempatan penduduk dalam tempoh setahun,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke kilang tersebut, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Penolong Pengarah JAS Negeri Johor, Zuhairi Said.

Menurutnya, pemilik kilang juga disarankan agar menggunakan semburan mikroorganisma efektif (EM) dan enzim di stor penyimpanan getah beku dan lori-lori bagi mengenyahkan bau busuk.

“Keadaan sekarang bertambah serius kerana masalah bau busuk ini tetap tidak dapat diatasi sehingga menimbulkan keresahan penduduk setempat dan disebabkan itu pemilik kilang perlu patuh terhadap peraturan yang dikeluarkan oleh JAS.

“Bulan lalu juga kita telah mengeluarkan notis penggantungan operasi di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap kilang ini dan sekiranya pihak kilang masih berdegil, JAS tidak akan beri kebenaran untuk memperbaharui lesen,” katanya.

Katanya, dalam tempoh 30 hari ini juga, kilang tersebut tidak dibenarkan beroperasi sepenuhnya sebaliknya pengurusan kilang perlu melakukan penambahbaikan seperti yang telah dicadangkan oleh JAS.

Sementara itu, Norshida berkata, beliau sering menerima rungutan dan aduan daripada penduduk setempat yang tidak tahan daripada bau busuk kilang tersebut sehingga menjejaskan rutin harian mereka.

“Isu bau busuk dari kilang ini telah berlarutan sekian lama, dan saya meminta pihak kilang supaya dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh JAS kerana di kawasan ini juga terdapat beberapa buah sekolah.

“Sekiranya masalah ini tidak diatasi, saya bimbang kesannya untuk jangka masa panjang boleh menjejaskan kesihatan penduduk kerana bau busuk daripada kilang ini boleh dihidu sehingga beberapa kilometer,” katanya.

(Visited 269 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: