Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Kemiskinan bukan penghalang kejayaan

SEGAMAT – Kemiskinan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kerana kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan kemudahan kepada pelajar golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Proffesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, rakyat negara ini perlu bersyukur dengan pelbagai skim bantuan yang disediakan oleh kerajaan terutama dalam menyediakan peluang pendidikan.

“Melalui pemerhatian saya setakat ini, tidak ada sebuah negara pun di dunia yang menyediakan begitu banyak peluang serta bantuan kepada rakyatnya seperti yang dilakukan oleh kerajaan di Malaysia.

“Jadi saya nasihatkan agar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) merebut peluang yang terhidang ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti atau kolej bagi mengubah ekonomi keluaga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera yang disempurnakan Zahari Sarip di Pasaraya One Segamat, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Destini Anak Bangsa, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali dan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Sementara itu, Aizuddin berkata, program ini bakal menyediakan 50,000 tempat di lebih 40 IPT termasuk 19 pusat pengajian tinggi awam (IPTA) kepada lepasan SPM, STPM mahu pun pemegang diploma dari tahun 2012 hingga 2016.

Menurutnya, Johor merupakan negeri kelima yang menjadi lokasi program tersebut selepas Sabah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini selain akan menjelajah ke 56 lokasi termasuk Sabah dan Sarawak.

“Walaupun baharu 20 lokasi yang dikunjungi dan masih berbaki 36 lokasi lagi, namun setakat ini sudah hampir 20,000 surat tawaran mengikuti pelbagai bidang pengajian telah dikeluarkan oleh institusi yang mengambil bahagian.

“Saya harap jelajah yang memasuki tahun kedua ini mampu memberi peluang yang lebih banyak kepada pelajar bumiputera lepasan SPM, STPM dan pemegang diploma untuk melanjutkan pelajaran mereka,” katanya.

Menurutnya, program ini adalah kesinambungan dari kejayaan program Jelajah Destini Anak Bangsa 2015 yang melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada awalnya sebelum dijenamakan semula dengan disertai oleh 10 rakan strategik pada tahun ini.

(Visited 59 times, 1 visits today)






Komen

error: