Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Keluarga mangsa lemas terima wang khairat kematian

SEGAMAT – Seorang anak di Kampung Mensudut Lama, di sini, tidak menyangka akan menerima wang tabung khairat kematian dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) selepas kematian bapanya, 24 Januari lalu.

Mohd Azmi Tarmin, 23, berkata, arwah bapanya, Tarmin Katiman, 58, meninggal dunia akibat lemas apabila motosikal yang ditungganginya dihanyutkan arus deras ketika bencana banjir yang melanda daerah ini, Januari lalu.

“Ketika kejadian arwah ayah dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum motosikalnya dihanyutkan arus deras dan mayatnya dijumpai tertiarap di kawasan banjir dua hari kemudian oleh abang saya.

“Walaupun kejadian ini hampir tiga bulan berlalu, kami sekeluarga masih terkesan dengan kehilangannya terutamanya ibu namun pada masa sama reda kerana ini adalah ketentuan ilahi,” katanya.

Dia ditemui semasa Penyampaian Cek Tabung Khairat Kematian Pekebun Kecil Risda (TKKPR), Program Kasihi Pekebun Risda dan Penyampaian Bantuan Pasca Banjir yang disampaikan oleh Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim di Kampung Spang Loi, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa; Penghulu Mukim Buloh Kasap, Mohd Nor Sangat dan Ketua Kampung Spang Loi, Jamaluddin Atan.

Menurutnya, dia yang sebelum ini bekerja di Melaka juga terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya, Zainah Puwiro, 54, dan adik bongsunya, Siti Nur Ain Nazirah, 16, yang masih bersekolah.

Katanya, duit wang khairat sebanyak RM2,000 itu juga akan diserahkan kepada ibunya dan terserah kepadanya untuk menguruskan wang tersebut sama ada untuk melakukan kenduri tahlil arwah bapanya atau untuk disimpan.

Sementara itu, Nor Afzami berkata, TKKPR merupakan satu sumbangan kewangan yang akan dapat meringankan beban keluarga pekebun kecil sekiranya berlaku kematian dan sumbangan berupa pampasan wang bernilai RM2,000 kepada waris terdekat.

“Selain itu, seramai 25 pekebun kecil yang terlibat banjir di Kampung Spang Loi menerima bantuan pasca banjir sebanyak RM100 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Bagi keseluruhan daerah Segamat, seramai 255 pekebun kecil menerima bantuan pasca banjir ini dan diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terlibat dengan banjir pada penghujung Januari lalu,” katanya.

Turut disampaikan adalah Bantuan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) bernilai RM500 sehektar iaitu terdiri daripada baja getah matang RISDA 4, bahan rangsangan pengeluaran lateks dan cuka getah untuk pekebun kecil getah.

(Visited 43 times, 1 visits today)






Komen

error: