Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Jualan pisang goreng mampu tampung belanja 3 anak di IPT

SEGAMAT – Rakyat Johor sememangnya sinonim dengan pisang goreng yang dicicah bersama sambal kicap sebagai menu ringan pada waktu petang sehingga menjadikannya sebagai salah satu kudapan ‘wajib’ dan menjadi identiti rakyat negeri ini.

Ini kerana, boleh dikatakan di setiap taman perumahan, pekan kecil sehingga ke bandar-bandar besar, wujud gerai-gerai menjual pisang goreng yang disajikan dengan sambal kicap dan uniknya, sambal kicap tersebut hanya ada di negeri Johor sahaja.

Mohd Salleh Misnan, 51

Mohd Salleh Misnan, 51

Bagi peniaga, Mohd Salleh Misnan, 51, yang menjadikan kaki lima di Pekan Labis, Segamat sebagai lubuk rezekinya berkata, pisang goreng dan jemput-jemput menjadi menu utama yang dijual di gerainya sejak dia memulakan perniagaan tersebut 10 tahun lalu.

Menurutnya, selain pisang goreng dan jemput-jemput, turut dijual di gerainya itu ialah keropok lekor dan kuih-muih seperti karipap, donat, buah Melaka dan sebagainya yang kebanyakannya dibuat oleh penduduk setempat.

“Pisang yang digunakan di gerai saya ialah pisang tanduk kerana selain rasanya yang enak, pisang tanduk juga mempunyai saiz yang besar. Jika kehabisan bekalan pisang tanduk, saya akan gantikannya dengan pisang nipah.

“Bekalan pisang tersebut saya ambil dari merata tempat di negeri ini seperti dari Muar, Batu Pahat dan Pontian seminggu sekali sebanyak 300 kilogram (kg). Bekalan pisang kena mencukupi kerana permintaan di sini terlalu tinggi.

“Bagi jemput-jemput pula, tiada sebarang rahsia ketika membuatnya kerana saya hanya menggunakan tepung gandum biasa yang berkualiti sahaja. Bancuhan air juga perlu seimbang bagi mengelakkan jemput-jemput terlalu keras,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaga kualiti

Menurut bapa kepada lima anak itu, dia mementingkan kualiti terhadap barang jualannya dan itu terbukti apabila dia juga hanya menggunakan minyak masak yang benar-benar berkualiti untuk menggoreng dan selepas dua hari, minyak tersebut akan ditukar baharu.

Katanya, akibat pernah tertipu membeli tepung gandum, dia juga pernah membuang bancuhan tepung untuk jemput-jemputnya apabila merasakan kelainan pada rasa jemput-jemput berkenaan.

Mohd Salleh sedang melayan pelanggan yang datang ke gerainya.

Mohd Salleh sedang melayan pelanggan yang datang ke gerainya.

“Rupa-rupanya tepung yang dijual kepada saya ketika itu sudah dicampur dengan tepung yang tidak berkualiti. Saya lebih rela membuangnya daripada terus menjualnya kerana ia penting bagi memastikan kepuasan kepada setiap pelanggan saya.

“Saya juga amat mementingkan hubungan dengan pelanggan dan setiap maklum balas daripada mereka akan saya ambil kira kerana ini penting bagi memastikan apa yang diusahakan oleh saya sentiasa mendapat sambutan,” katanya.

Bangga kejayaan anak

Menurut suami kepada Nurniza Selamat, 47, dia juga menarik nafas lega sekarang apabila perniagaannya bertambah maju dan terbukti apabila dia kini mampu untuk mengupah lima pekerja di gerainya.

Katanya, berkat kesabarannya dalam dunia perniagaan juga berbaloi apabila dia mampu untuk menghantar tiga anaknya ke institusi pengajian tinggi (IPT) dengan hanya berbekalkan duit perniagaannya di kaki lima sahaja.

“Tiga anak saya juga sudah mengikuti jejak langkah saya di dalam dunia perniagaan apabila mereka juga sudah mengusahakan perniagaan gimnasium, fotografi dan popia. Apa yang pasti, saya sudah merasai jatuh bangun dalam dunia perniagaan.

“Permulaan saya dalam dunia perniagaan bermula apabila saya menjual ubat-ubatan tradisional di pasar malam sebelum beralih kepada perniagaan kebab dan burger. Apabila semuanya tidak berhasil, saya berniaga pisang goreng sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, di antara masalah yang dihadapinya adalah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan pisang dan terpaksa bertukar kepada jualan keledek goreng dan keropok lekor sahaja.

Sementara itu, bagi salah seorang pelanggan tetapnya, Hamdan Ali, 52, dia menggemari pisang goreng dan jemput-jemput yang dijual di kedai Salleh kerana rasanya yang kekal rangup dan garing walaupun sudah sejuk.

“Selain itu, apa yang dijual di sini juga sangat murah dan berbaloi kerana tiga ketul pisang goreng dan lima biji jemput-jemput masing-masing hanya dijual RM1. Apa yang penting, sambal kicap di sini sangat enak.

“Setiap minggu, saya akan singgah di sini untuk membeli pisang goreng untuk dibawa pulang ke rumah dan penjualnya pula amat dekat dengan pelanggan,” katanya.

(Visited 2,037 times, 1 visits today)



(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: