Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

JKNJ peka aduan orang ramai

SEGAMAT – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sentiasa mengambil berat aduan yang diterima melibatkan servis dan perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh hospital dan klinik kerajaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau tidak menafikan ada di antara servis dan perkhidmatan yang diberikan oleh doktor dan jururawat di hospital dan klinik kerajaan tidak mengikuti piawaian yang ditetapkan.

“Ini kadangkala menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.Namun, saya jamin hal tentang ketidakpuasan hati ini adalah terlalu kecil kerana perkara ini terlalu umum untuk dibincangkan.

“Mungkin ada segelintir sahaja kakitangan hospital yang tidak elok dalam memberi rawatan dan perkhidmatan. Bagaimanapun, ini tidak menjejaskan operasi serta perkhidmatan yang diberikan oleh kami,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Terbuka Hospital Daerah Segamat (HDS) di Dewan Perdana, HDS, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah HDS ,Dr Mokhtar Ahmad; Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Zaid Kassim dan Penolong Kanan Pegawai Daerah Segamat, Sulaiman Ismail.

Menurutnya, beliau yakin doktor dan jururawat di negeri ini sudah terlatih bagaimana mahu berdepan dan memberi rawatan kepada pesakit terutamanya pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dan mereka juga menjalankan tugas dalam keadaan positif dan baik.

“Bagaimanapun, pesakit juga seharusnya memahami situasi dan keadaan yang dihadapi oleh doktor dan jururawat kerana mereka sanggup berkorban dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Kadang-kadang isu yang timbul hanya disebabkan masalah komunikasi di antara pesakit dan jururawat. Daripada sini isu berkenaan berpanjangan dan secara tidak langsung menjejaskan imej hospital dan klinik kerajaan,” katanya.

Menurutnya, aduan juga perlu disalurkan dengan betul dan setiap aduan yang diterima akan disiasat sebelum diambil tindakan yang sewajarnya bagi membaiki mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Pada masa sama, beliau meminta penduduk daerah ini supaya memanfaatkan Hari Terbuka HDS bermula 8 hingga 12 Oktober ini untuk mendapatkan pemandangan sebenar di hospital selain menyampaikan pandangan, aduan dan penambahbaikan secara terus.

(Visited 25 times, 1 visits today)






Komen

error: