Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Jangan malu dapatkan rawatan kemurungan

SEGAMAT – Orang ramai dinasihatkan buang perasaan malu bagi mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami masalah kemurungan atau tekanan.

ADUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan telah menggantikan penyakit jantung sebagai penyakit utama yang membawa ketidakupayaan terbesar di dunia.

“Kemurungan ini penyakit yang membawa beban kerana memerlukan kos rawatan yang agak tinggi selain merupakan salah satu kecelaruan emosi yang melibatkan perasaan sedih dan murung yang berpanjangan.

“Sekiranya penyakit ini dapat dikesan di peringkat awal, adalah lebih mudah untuk diubati berbanding membiarkan masalah itu menjadi serius kerana masalah kemurungan berlaku tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2017 ‘Kemurungan: Jom Berkongsi’ Peringkat Daerah Segamat di Dewan Perdana Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Penolong Kanan Pegawai Daerah Segamat, Sulaiman Ismail dan Pengarah HDS, Dr. Mokhtar Ahmad.

Menurutnya, penyakit kemurungan juga seringkali dianggap masalah ringan oleh masyarakat sehingga ada yang berpandangan tidak perlu mendapatkan khidmat kaunseling atau doktor psikiatri dan boleh dihadapi sendiri oleh pesakit tersebut.

“Malah saya yakin ramai juga yang tidak menyedari bahawa kemurungan yang berpanjangan adalah suatu masalah ketidakupayaan emosi yang perlukan rawatan sama ada bantuan perubatan atau kaunseling.

“Hari Kesihatan Sedunia yang disambut setiap tahun ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya membuat pemeriksaan sekiranya kita melihat ahli keluarga kita atau kita sendiri berhadapan dengan masalah kesihatan mental,” katanya.

Katanya, orang ramai seharusnya sedar bahawa gangguan psikiatri dan lain-lain bentuk penyakit mental termasuk kemurungan boleh mendorong kepada keganasan dan tidak boleh diabaikan kerana memberikan kesan besar kepada masayarakat.

“Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan agar mempertimbangkan untuk melatih lebih ramai pakar psikiatri dan psikologi bagi ditwmpatkan di hospital dan klinik bagi berurusan dengan orang yang mengalami gangguan mental.

“Kita perlu sentiasa bersikap positif agar mereka yang memerlukan bantuan untuk menangani masalah mental tidak perlu rasa malu tetapi harus tampil mendapatkan bantuan,” katanya.

(Visited 178 times, 1 visits today)






Komen

error: