Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Jalur Gemilang gergasi hiasi kawasan sekolah

SEGAMAT – Seramai 80 guru dan 1,100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, di sini, menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dengan menghasilkan Jalur Gemilang bersaiz gergasi iaitu 22 meter panjang dan lapan meter lebar.

Pengetuanya, Mohamad Shah Hashim berkata, ini usaha pertama guru-guru, pelajar dan kakitangan sekolah bekerjasama menghasilkan Jalur Gemilang gergasi bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara yang ke-60 pada hujung bulan ini.

“Kerja-kerja menjahit bermula sejak bulan Jun lalu dan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya dan proses menyiapkan Jalur Gemilang gergasi ini dilakukaan tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Jalur Gemilang gergasi ini juga mencatat sejarah tersendiri pihak sekolah dan kami amat berbangga dapat menyemarakkan sambutan kemerdekaan dengan cara tersendiri dan lebih patriotik,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurutnya, beliau juga berharap usaha ini dapat membangkitkan semangat cintakan negara dan sayangkan Jalur Gemilang dalam kalangan warga sekolah selain beberapa Jalur Gemilang dan bendera Johor juga turut memenuhi persekitaran kawasan sekolah.

Katanya, sepanjang bulan kemerdekaan ini juga, pihak sekolah turut menyediakan pelbagai pertandingan seperti nyanyian lagu patriotik, poster dan kuiz sebagai meningkatkan pengetahuan murid terhadap sejarah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, usaha pihak sekolah ini harus dipuji kerana mengambil langkah tersendiri bagi menyemai sikap cinta dan sayang kepada negara dan Jalur Gemilang dalam kalangan pelajarnya.

“Kita dapat lihat betapa kebelakangan ini banyak unsur yang tidak baik menular dalam masyarakat dan semangat patriotik dalam generasi pascamerdeka yang ada pada hari ini juga dilihat semakin luntur.

“Saya berharap dengan terhasilnya Jalur Gemilang gergasi ini dapat memberi lebih semangat kepada penduduk di sekitar daerah ini untuk sama-sama kibarkan bendera sempena sambutan kemerdekaan yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

(Visited 113 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: