Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Ibu dan dua anak cemas rumah dipukul ribut

LABIS – Seorang isteri di Kampung Sawah Baru dekat sini bedepan saat cemas ketika bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut kira -kira pukul 4.30 petang, 12 Jun lalu.

Rohaini Mohd.Basri, 36, berkata, ketika kejadian hanya dia bersama dua orang anaknya berusia lima dan tujuh tahun berada di rumah sementara suaminya Amran Abdullah,46, tiada di rumah kerana ada urusan di luar dan seorang lagi anaknya berusia sembilan tahun bersekolah agama.

“Saya yang berasa takut hanya mampu melihat sahaja kira-kira 10 keping atap zink bahagian ruang tamu serta dapur rumah saya diterbangkan angin dan air mencurah masuk ke dalam rumah.

“Ketika itu saya panik dan membawa anak-anak saya berlindung di satu sudut di ruang tamu sambil berdoa agar hujan lebat dan angin kencang berhenti segera,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan ADUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan pegawai Baitulmal baru-baru ini.

Katanya, selepas hujan dan angin reda dia mendapati banyak perkakas rumah musnah ditimpa hujan selain juadah untuk berbuka puasa yang sedang disiapkan turut rosak ditimpa hujan dan habuk.

Menurutnya, dia terkejut dengan kejadian itu terfikir untuk menghubungi suaminya yang pulang kira-kira satu jam kemudian untuk memaklumkan kejadian tersebut yang pertama kali berlaku sejak hampir 15 tahun tinggal di rumah tersebut.

Sementara itu, Amran melahirkan rasa syukur kerana anak-anak serta isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan dan menerima kejadian tersebut sebagai takdir.

Katanya, dia belum membuat tafsiran jumlah kerugian yang dialaminya kerana memberi tumpuan untuk membaiki kerosakkan terlebih dahulu memandangkan hujan sering turun pada sebelah petang sejak kebelakangan ini.

Mohd. Azahar pula meminta Amran untuk memohon sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memandangkan rumah sedia ada sudah uzur dan banyak kayu yang sudah reput.

“Saya akan menyokong permohonannya nanti kerana melalui permerhatian saya, dia layak untuk mendapatkan rumah bina baharu bagi memberi keselesaan kepada keluarganya.

“Selain itu saya juga akan melihat keperluan lain mereka dan menyalurkan sebarang bantuan bagi memastikan keselesaan mereka sekeluarga,” katanya.

(Visited 165 times, 1 visits today)






Komen

error: