Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Hilang tempat bergantung

LABIS – Seorang isteri di Taman Perumahan Awam Chaah, di sini, hilang tempat bergantung dan sumber pendapatan selepas suaminya meninggal dunia dalam kemalangan motosikal, Jumaat lalu.

Rosliza Ahmad, 40, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, suaminya, Mahad Satim, 51, sedang menunggang motosikal sambil membonceng dua anaknya, Fatin Atikah Nasuha, 8, dan Mohd Alif Fakhruddin, 4.

“Ketika kejadian, arwah sedang dalam perjalanan ke rumah selepas membawa Fatin dan Alif menggunting rambut di pekan Chaah dan sewaktu dia hendak memasuki simpang rumah kami, motosikal mereka dilanggar oleh lori di bahagian belakang.

“Tambah memilukan, lokasi kemalangan hanya kira-kira 10 meter dari rumah kami dan saya sendiri mendengar bunyi pelanggaran tersebut kerana sedang menyidai pakaian dan pada awalnya saya tidak tahu kemalangan itu melibatkan suami dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia yang pergi ke kawasan kemalangan kemudian terkejut selepas melihat suami dan anak-anaknya sudah terbaring di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah sebelum ditenangkan oleh jiran-jirannya.

“Alif ketika itu masih boleh berjalan manakala Fatin masih boleh bercakap walaupun kepalanya berlumuran darah manakala suami langsung tidak sedarkan diri sebelum dibawa menaiki ambulan ke Klinik Kesihatan Chaah.

“Sewaktu dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Chaah, saya dimaklumkan suami sudah meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala serta dada dan ketika itu saya saya rasakan semuanya bagaikan bermimpi kerana berlaku terlalu pantas,” katanya.

Menurutnya, sudah menjadi rutin mingguan suaminya yang bekerja di Kota Tinggi akan pulang ke rumah mereka pada setiap malam Khamis untuk berjumpa dengannya dan tiga lagi anaknya sebelum pulang semula ke Kota Tinggi pada pagi Sabtu.

Katanya, akibat kejadian tersebut, Alif mendapat luka kecil di bahagian kaki manakala Fatin mendapat luka di bahagian muka dan mujur ketika kejadian dua anaknya itu memakai topi keledar dan jika tidak, mungkin kecederaan yang lebih teruk akan berlaku.

“Saya kini tiada punca pendapatan dan anak sulung saya, Fatin Nur Shahira akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini kerana sebelum ini soal duit dan perbelanjaan rumah diuruskan oleh suami.

“Selepas ini saya mungkin terpaksa mencari pekerjaan di sekitar Chaah kerana mahu membesarkan dan menyekolahkan anak-anak saya,” katanya.

Sementara itu, Haslinda berkata, pihaknya akan menguruskan permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga tersebut.

(Visited 599 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: