Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

HDS akan terima pertambahan 256 katil

SEGAMAT – Kementerian Kesihatan akan menambah sebanyak 256 katil pesakit lagi di Hospital Daerah Segamat (HDS) apabila usaha menaik taraf hospital tersebut kepada hospital pakar dengan kos sebanyak RM50 juta siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ketika ini HDS menawarkan perkhidmatan  dalam 11 bidang kepakaran seperti pakar mata, pakar perubatan, pakar kanak-kanak dan pakar pembedahan.

“Apabila HDS menjadi hospital pakar sepenuhnya nanti, saya menjangkakan jumlah pesakit juga akan bertambah dan ini mungkin menjadikan hospital tersebut mengalami kesesakan nanti.

“Apabila terdapat pertambahan perkhidmatan yang diberikan, maka akan berlaku kesesakan dan ianya adalah sesuatu yang normal serta tidak boleh dielakkan sehingga memaksa penambahan bilangan katil pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata kepada pemberita semasa siding media selepas program penyampaian sumbangan kepada pesakit anjuran Ahli Lembaga Pelawat HDS, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Pengarah HDS, Dr Aman Rabu dan Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad.

Subramaniam (kiri) bertanya khabar slaah seorang pesakit di HDS

Subramaniam (kiri) bertanya khabar slaah seorang pesakit di HDS

Menurutnya, pada ketika ini, HDS hanya menyediakan sebanyak 314 katil pesakit dan pertambahan sebanyak 256 katil ini diharap akan memberi keselesaan serta kemudahan kepada penduduk di daerah ini untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Pada masa sama, kementeriannya juga sudah bersiap sedia dan mengambil pelbagai langkah perlu bagi menangani sebarang kemungkinan penularan virus Zika ke negara ini sama ada oleh pelancong atau rakyat negara ini yang melawat ke 24 buah negara yang berisiko.

“Antara cabaran besar yang dihadapi oleh pihak kami kini adalah untuk mengenalpasti pembawa virus berkenaan kerana tidak semua 24 negara berisiko yang telah disenaraikan mempunyai penerbangan terus ke negara ini.

“Pembawa virus tersbut mungkin boleh memasuki negara ini melalui mana-mana penerbangan dari negara lain kerana kebanyakkan penerbangan dari negara yang disenaraikan akan singgah ke negara lain yang tidak disenaraikan,” katanya.

(Visited 202 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)
(Artikel Seterusnya) »



Komen

error: