Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Hasrat miliki rumah sendiri hampir terlaksana

LABIS – Penantian 135 generasi kedua Felda Chemplak Barat, di sini, selama enam tahun untuk memiliki rumah sendiri hampir terlaksana selepas mereka menerima borang permohonan tapak rumah.

Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, terdapat beberapa lagi proses yang perlu dilalui oleh pemohon selepas penyerahan borang permohonan tapak rumah ini di atas tanah yang berkeluasan kira-kira 4,500 ekar itu.

“Walaupun borang permohonan tapak rumah ini merupakan satu langkah awal, pemohon perlu memenuhi syarat bagi memastikan generasi kedua Felda benar-benar layak dan belum memiliki rumah sendiri diberi keutamaan.

“Tapak perumahan generasi kedua ini juga telah dikenalpasti dan diratakan untuk tujuan racikan plot sebelum diagihkan kepada pemohon dan ini bukan satu proses yang mudah kerana kita perlu mengikut setiap prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Borang Perumahan Generasi Kedua Felda Chemplak Barat di Dewan Semai Bakti Felda Chemplak Barat, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat sedikit halangan terhadap tanah-tanah yang dipohon kerana merupakan tanah ladang dan tertakluk di bawah Seksyen 5 Kanun Tanah Negara (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

“Kita perlu batalkan warta tanah ini terlebih dahulu kerana tanah sedia ada merupakan tanah pertanian dan kita akan meminta pihak berkuasa negeri menukar status tanah ini kepada kawasan kediaman di bawah Seksyen 6 akta yang sama.

“Saya juga telah meminta pihak Felda untuk mengenalpasti setiap plot tanah ini memang sesuai untuk dibina rumah kerana kita tidak mahu ada pemohon yang mendapat plot di kawasan gaung dan kolam yang tidak sesuai dibina rumah,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya kawasan kediaman tersebut juga dicadangkan untuk dibangunkan rumah Projek Generasi Baharu Felda (PGBF) namun terpaksa dibatalkan kerana mengambil masa yang lama.

Katanya, selepas ini tanah tersebut akan diagihkan secara kurniaan biasa dan beliau juga telah meminta bantuan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mempercepatkkan proses tersebut.

“Pada hari ini merupakan langkah kedua iaitu penyerahan borang sebelum pemohon mengisi borang tersebut dan dikembalikan untuk diserahkan kepada Pejabat Tanah Daerah (PTD) Segamat untuk diproses.

“Sekiranya dalam rekod mendapati pemohon mempunyai tanah dan memiliki rumah, permohonan mereka akan terbatal serta merta dan PTD akan membawa permohonan ini ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor untuk dinilai,” katanya.

(Visited 26 times, 1 visits today)






Komen

error: