LABIS – Hasrat seorang warga emas di Kampung Tenang untuk menduduki rumah sendiri menerusi projek perumahan mesra rakyat menjadi kenyataan apabila rumah yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu siap sepenuhnya pada awal Februari lalu.

Bibah Bidon, 75, berkata, dia juga gembira apabila impiannya untuk menduduki rumah baharu yang lebih selesa tercapai namun sedikit sedih apabila arwah suaminya, Ali Abdullah tidak sempat untuk berkongsi kegembiraan tersebut apabila meninggal dunia pada tahun 2013.

“Sewaktu kerja-kerja merobohkan rumah lama untuk dibina rumah ini dilakukan, arwah suami mak cik masih ada lagi dan dia sendiri kelihatan tidak begitu sabar untuk menduduki rumah batu kerana rumah sebelum ini kebanyakan kayunya telah reput dimakan anai-anai

“Namun, selepas siap menyimen binaan tapak rumah, kontraktor yang dilantik memberitahu mak cik bahawa mereka perlu mengambil masa untuk membiarkan simen tersebut betul-betul kering dan padat sebelum menghilangkan diri,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurut ibu kepada enam anak itu, sebelum ini dia bersama seorang anak dan dua lagi cucunya juga terpaksa membina sambungan kecil di bahagian belakang rumah anaknya yang terletak bersebelahan dan tidur di ruang kecil tersebut secara berasak-asak.

Katanya, permohonan membina rumah tersebut juga menggunakan nama salah seorang anaknya, Hazlinawati Ali, 43, memandangkan dirinya sudah tua dan tidak layak memohon skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) tersebut.

Bibah (kiri) dan Hazlinawati menunjukkan rumah mereka yang telah siap dibina sepenuhnya
Bibah (kiri) dan Hazlinawati menunjukkan rumah mereka yang telah siap dibina sepenuhnya

“Sejak hampir tiga tahun rumah tersebut terbengkalai, pada penghujung bulan Disember lalu, kontraktor yang baharu dilantik oleh pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) datang ke rumah mak cik untuk meneruskan kerja-kerja yang terbengkalai.

“Tidak sampai dua bulan, rumah ini siap sepenuhnya dan pihak SPNB juga telah menyerahkan kunci rumah kepada mak cik namun mak cik belum sempat memindahkan barang-barang lagi,” katanya.

Sementara itu, Hazlinawati berkata, sebelum ini suaminya, Shaharani Mohd Karim, 36, juga seringkali mendesak SPNB supaya menyegerakan kerja-kerja terbengkalai tersebut dan melantik kontraktor yang lebih bertanggungjawab.

Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana rumah tersebut dapat disiapkan pada tahun ini dan dia bersama dua anaknya yang berumur enam dan 11 tahun juga tidak perlu berhimpit dan tinggal lagi di belakang rumah abangnya itu.

“Selepas ini kerja-kerja pemindahan barang juga boleh dilakukan memandangkan banyak barang kami masih berada di Kluang kerana suami bekerja di sana dan saya akan mengambil tanggungjawab untuk menjaga emak.

“Saya secara peribadi berpuas hati dengan keadaan rumah ini dan yang paling penting, adik beradik serta sanak saudara dapat berkumpul di rumah ini pada Hari Raya Aidilfitri akan datang,” katanya.

(Visited 683 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!