Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Generasi pasca merdeka perlu lebih berhati-hati sebar maklumat

SEGAMAT – Generasi pasca merdeka yang ada di Malaysia pada hari ini diminta supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan dan menyebarkan sesuatu isu agar tidak timbul sebarang spekulasi yang boleh menggugat perpaduan di antara kaum di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka yang dilahirkan selepas tahun 1957 tidak pernah merasai peritnya hidup untuk menuntut kemerdekaan sehingga membuatkan mereka lupa nikmat kemerdekaan.

“10 tahun pertama selepas kemerdekaan negara, penduduk di Tanah Melayu hidup dengan susah kerana kerajaan dan negara ketika itu masih miskin sehinggakan kadar kemiskinan ketika itu mencecah 50 peratus.

“Tetapi jika dibandingkan dengan sekarang, kadar kemiskinan telah menurun sehingga satu peratus dan jangka hayat penduduk di negara ini juga turut meningkat daripada umur 55 tahun hingga ke 77 tahun,” katanya.

Beliau yang juga Adun Kemelah berkata dalam ucapannya semasa merasmikan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat di Dewan SMKA Segamat, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Negeri Johor, Elfino Johari dan Pengetua SMKA Segamat, Mohamad Sabri Satar.

Menurutnya, pelbagai program yang diyakini mampu mengukuhkan semangat patriotisme rakyat di negara ini khususnya golongan muda perlu dipergiatkan bagi memastikan mereka tidak mudah dipengaruhi oleh unsur luar yang boleh menghakis semangat tersebut.

“Ini adalah penting kerana untuk memastikan negara kita terus maju dan membangun, kita perlu memerlukan orang muda untuk memimpin Malaysia pada masa akan datang dan penglibatan mereka dalam program seperti ini juga adalah tepat.

“Saya juga sering menegaskan bahawa pada abad sekarang, kebanyakan maklumat yang kita perolehi adalah melalui media baharu dan perlu bagi kita menapis maklumat yang tidak benar agar tidak timbul sebarang isu berbangkit pada kemudian hari,” katanya.

Menurutnya, setiap pihak juga perlu mengkaji maklumat dan segala butiran yang diterima sama ada tepat atau tidak terlebih dahulu sebelum menyebarkannya kerana tidak mahu timbul sebarang kekeliruan.

Pada masa sama, generasi muda terutamanya pelajar perlu memahami bahawa untuk menjadi pejuang negara bukanlah hanya dengan menyertai polis, tentera dan pasukan keselamatan yang lain.

“Perjuangan itu berbeza-beza dan tidak boleh dilihat di dalam ruang yang sempit dan perjuangan itu bukan dengan hanya mengangkat senjata dan menyertai pasukan beruniform sahaja kerana berjaya dalam pelajaran juga adalah perjuangan,” katanya.

(Visited 27 times, 1 visits today)






Komen

error: