Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Felda Tenang ‘gemparkan’ sejarah negara

LABIS – Kawasan perkampungan Felda Tenang kira-kira enam kilometer dari pekan Labis, di sini, yang dikelilingi kawasan lapang saujana mata memandang menerbitkan rasa damai sebaik menjejakkan kaki di Bumi yang menyimpan sejarah penting negara itu.

Menurut sejarah, Felda Tenang dibuka sekitar tahun 1960 hingga 1961 dan nama ‘Tenang’ itu diperoleh bersempena nama individu yang membuka kawasan tersebut iaitu Haji Muhammad Arifin Aladin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Tenang’.

Darham menunjukkan lokasi kotak kayu yang didaratkan menggunakan payung terjun.

Darham menunjukkan lokasi kotak kayu yang didaratkan menggunakan payung terjun.

Namun, disebalik keindahan serta kedamaiannya, tidak ramai yang mengetahui bahawa tanah rancangan tersebut merupakan lokasi 96 tentera elit Indonesia digugurkan dari pesawat Hercules C130 dengan payung terjun untuk menyusup masuk ke Johor pada 2 September 1964.

Ini bertujuan bagi memulakan serangan gerila ke Malaysia ekoran konfrontasi Malaysia-Indonesia yang melanda negara dari tahun 1962 hingga 1966 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’ yang diambil oleh pemimpin Indonesia pada ketika itu.

Menurut ketua kampungnya, Darham Daud, 65, berkata, dia mengakui Felda Tenang turut dikenali lantaran peristiwa pertumpahan darah yang berlaku di antara askar Indonesia yang diketuai Leftenan Muda Sutikno dengan askar Melayu pada tahun 1964.

Katanya, berdasarkan sumber, pada asalnya terdapat tiga pesawat yang membawa tentera elit Indonesia berlepas daripada Jakarta ke Labis dan salah satu daripadanya terhempas di perairan Selat Melaka dan mengorbankan banyak nyawa tentera Indonesia tersebut.

Dua pesawat lain bagaimanapun meneruskan penerbangan mereka bagi menjayakan operasi sulit itu mula memasuki kawasan Labis ketika waktu awal pagi berdasarkan koordinat yang telah ditanda oleh perisik atau ‘tali barut’ mereka.

Bunyi enjin pesawat disangka bunyi enjin traktor jiran

Menurut Darham, sekitar pukul 2.30 pagi pada 2 September 1964, lenanya terganggu dek bunyi enjin yang disangkanya enjin traktor jirannya, namun selepas diamati semula, ternyata bunyi tersebut datang daripada enjin kapal terbang yang berlegar rendah di ruang udara Felda Tenang.

Darham Daud

Darham Daud

“Selepas beberapa kali berlegar saya terdengar seperti benda besar jatuh ke atas tanah, namun tidak dapat memastikan arahnya ketika itu kerana saya tidak menjenguk ke luar rumah dan mula tidak sedap hati.

“Saya kemudian tidak dapat menyambung tidur kerana tertanya-tanya apa yang berlaku dan kira-kira pukul 3.30 pagi saya membuka tingkap untuk meninjau keadaan sekitar kerana ketika itu berita pencerobohan tentera Indonesia sudah tersebar di sini,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia ternampak beberapa cahaya lampu picit penduduk yang berkawal mula berkumpul di kawasan pejabat Felda Tenang lalu mengambil keputusan untuk menemui mereka mendapatkan kepastian.

Katanya, dia dimaklumkan oleh rakan-rakan yang berkawal bahawa mereka ternampak beberapa cahaya yang tidak dapat dipastikan objeknya digugurkan dari kapal terbang dan salah satunya menghasilkan bunyi kuat ketika jatuh kebumi tidak jauh dari kawasan pejabat itu.

“Kami kemudian mengambil keputusan untuk melakukan sisatan bagi mengetahui objek apa yang digugurkan oleh pesawat tersebut dan kemudian menemui sebuah kotak kayu besar yang digugurkan menggunakan payung terjun berhampiran tangki air.

“Waktu itu kami tidak berani menghampiri kotak tersebut dan bertindak melaporkan kepada pengurus yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Labis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Antara peralatan tentera Indonesia yang berjaya dirampas ((gambar Arkib Negara)

Antara peralatan tentera Indonesia yang berjaya dirampas ((gambar Arkib Negara)

Menurutnya,pada sebelah pagi, pihak polis dan tentera sudah memenuhi Felda Tenang sementara kotak tersebut dibawa ke pejabat Felda untuk diperiksa oleh pihak keselamatan dan tidak mengetahui kandungannya.

Katanya, ada penduduk yang berpeluang melihat kerja-kerja membuka kotak tersebut mendakwa kotak tersebut dipenuhi dengan wang kertas Malaysia, makanan serta senjata api pelbagai jenis namun tidak dapat dipastikan kebenarannya.

“Selepas itu, penduduk dimaklumkan kejadian sebenar di mana puluhan askar Indonesia telah mendarat menggunakan payung terjun di kawasan berhampiran oleh pihak keselamatan dan perintah berkurung bermula 7 malam hingga 7 pagi mula dikuatkuasakan ketika itu.

“Dakwaan penduduk dalam ketakutan dan terancam oleh sesetengah pihak sebelum ini ketika peristiwa tersebut adalah tidak benar, sebaliknya kehidupan kami seperti biasa pada sebelah siang, hanya penduduk dinasihatkan tidak pergi ke kebun dan sekolah ditutup,” katanya.

Berjaya tangkap seorang tentera Indonesia

Bagi peneroka, Yusuf Idros, 81, berkata, selama 21 hari usaha menjejak askar Indonesia dilakukan oleh pihak keselamatan, beberapa siri pertempuran di antara tentera pencereboh dan pasukan keselamatan yang terdiri daripada askar Ghurka, Pasukan Polis Hutan (PPH) berlaku menyebabkan beberapa musuh terbunuh dan ditawan.

Yusof Idrus

Yusof Idrus

Katanya, kawasan perkampungan ketika itu di penuhi oleh pasukan keselamatan dan dia bernasib baik berjaya menangkap seorang tentera musuh ketika mengerjakan sawah padi di Pekan Air Panas, kira-kira enam kilometer dari Felda Tenang.

“Ketika sedang mengerjakan bendang di sawah, pak cik ternampak seorang lelaki tidak dikenali berpakaian ala tentera dalam keadaan keletihan dan cuba menghampirinya untuk menghulurkan bantuan.

“Tetapi, dia melarikan diri selepas dihampiri lalu pak cik mengejarnya sebelum berjaya menangkapnya dan mendapati dia adalah seorang askar penceroboh serta memiliki senjata tajam sebelum menyerahkannya kepada seorang rakan lain untuk diserah kepada pihak keselamatan,” katanya.

Menurutnya, tidak ramai generasi muda di Felda Tenang ketika ini mengetahui peristiwa yang tercacat sebagai sejarah negara era konfrantasi antara Malaysia dengan Indonesia itu berlaku di tempat mereka kerana kebanyakan saksi sudah meninggal dunia.

Sutikno serah diri selepas 21 hari bersembunyi

Bagi Abdullah Mohd Jim, 79, berkata, akibat bimbang keselamatan isteri dan dua anakya,  dia mengambil keputusan untuk tidak menyertai majlis tahlil di rumah seorang penduduk tidak jauh dari rumahnya dan terlepas peluang menyaksikan peristiwa Leftenan Muda Sutikno menyerah diri.

Abdullah Mohd Jim

Abdullah Mohd Jim

Katanya, melalui cerita seorang sahabat yang sudah meninggal dunia dan berada di lokasi kejadian ketika itu, Sutikno dan pasukannya menyerah diri dari tempat persembunyiannya dalam keadaan kelaparan dari kawasan paya berhampiran rumah penduduk kerana kehabisan bekalan makanan selepas 21 hari bersembunyi.

“Tidak ramai yang memahami apa yang dituturkan oleh Sutikno kerana dia bercakap dalam bahasa Jawa halus dan mujur terdapat salah seorang penduduk yang telah pun meninggal dunia memahami serba sedikit apa yang dituturkannya itu.

Sutikno (kiri) ketika ditemubual oleh Suara Malaysia (gambar Arkib Negara)

Sutikno (kiri) ketika ditemubual oleh Suara Malaysia (gambar Arkib Negara)

“Ketika menyerah diri, dia turut membawa senjata dan beberapa barangan lain serta wang tunai mata wang Malaysia dalam jumlah yang banyak lalu menyerahkannya kepada penduduk serta meminta dirinya supaya tidak diapa-apakan,” katanya.

Menurutnya, Sutikno kemudian diserahkan kepada pasukan keselamatan dan selepas beberapa hari, tentera Indonesia yang lain keluar menyerah diri selepas risalah-risalah yang mengatakan ketua mereka telah ditangkap digugurkan melalui pesawat.

(Visited 4,331 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: