Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Ekspedisi Enam Gunung lakar sejarah

SEGAMAT – Hospital Daerah Segamat (HDS) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Segamat dan Kelab Doktor HDS berjaya melakar sejarahnya sendiri apabila mengambil insiatif untuk melaksanakan Ekspedisi Enam Gunung 2017, baru-baru ini.

Pengarah Ekspedisi, Aizuddin Miskandar berkata, ekspedisi yang julung kali diadakan ini juga bersempena Hari Jantung Sedunia 2017 dan Hari Sukan Negara 2017 dan merupakan program kesihatan yang dirangka khusus untuk melahirkan anggota kesihatan yang berketrampilan.

“Ekspedisi ini akan dijalankan sebanyak dua siri melibatkan tujuh gunung dan pada siri pertama, kami akan menawan Gunung Irau, Gunung Jasar, Gunung Berembun, Gunung Cecil dan Gunung Penelope di Pahang.

“Pada siri pertama ini, seramai 25 peserta terlibat dan tempoh ekspedisi bermula 28 Julai dan akan berakhir pada 30 Julai manakala siri kedua pada 24 hingga 27 Ogos di Gunung Yong Belar, Perak,” katanya.

Beliau ditemui semasa Majlis Pelepasan dan Penyerahan Bendera Daerah Segamat serta Plat Ekspedisi oleh Pengarah HDS, Dr Mokhtar Ahmad di Lobi HDS, di sini.

Menurutnya, pemilihan setiap gunung adalah berpaksikan kepada ketinggian, tahap kesukaran, faktor keselamatan dan kos yang minima selain setiap gunung menjanjikan pengalaman dan mempunyai tahap kesukaran yang berbeza.

“Pendaki akan diuji dengan kelasakan fizikal, kekuatan mental dan ketahanan diri dalam menghadapi cabaran seperti kesejukan, kekurangan oksigen serta kemandirian sepanjang ekspedisi.

“Peserta-peserta yang terlibat dalam ekspedisi ini juga telah disaring kecergasan mereka dan terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan lain-lain jawatan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini para peserta juga telah menjalani latihan pengendalian radio dan pemasangan antena bagi tujuan perhubungan komunikasi oleh pengendali radio amatur bertauliah dan kursus asas rekreasi seperti praktikal menggunakan peralatan perkhemahan.

Katanya, selain itu para peserta juga turut didedahkan dengan situasi latihan dan simulasi pendakian gunung yang sebenar di Gunung Datuk, Negeri Sembilan pada 8 Julai yang lalu.

Sementara itu, Dr Mokhtar berkata, ekspedisi ini sebagai salah satu latihan kepada para peserta untuk mengenalpasti dan secara tidak langsung memberi latihan kepada mereka sebagai persediaan perawatan di situasi sukar dengan peralatan terhad.

“Apa yang penting kami mahu mengeratkan hubungan silaturahhim dan komunikasi dalam kalangan warga kerja kesihatan di daerah ini dan mendedahkan kepada mereka aktiviti lasak yang mencabar kemampuan fizikal mereka,” katanya.

(Visited 150 times, 1 visits today)



« (Artikel Sebelumnya)



Komen

error: