Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Daripada belukar ke pusat rekreasi

SEGAMAT–Tiada siapa yang menyangka Taman Rekreasi Sungai Kapeh, di sini, yang penuh dengan pelbagai aktiviti rekreasi pada waktu petang dan hujung minggu dahulunya merupakan kawasan belukar dan sungai mati.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh Majlis Daerah Segamat (MDS) untuk membangunkan kawasan tersebut kira-kira 10 tahun lalu berjaya memberi nafas baharu sekaligus menjadi salah satu lokasi riadah utama penduduk di daerah ini.

Taman rekreasi ini juga telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 2010 dan dirasmikan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Kembara Mahkota Johor (KMJ) di daerah ini pada tahun 2012.

Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad berkata, selain menjadi lokasi riadah, kawasan seluas 9.5 hektar itu juga turut dijadikan sebgai lokasi majlis-majlis rasmi sama ada oleh agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain kemudahan trek joging, kemudahan-kemudahan lain seperti taman permainan kanak-kanak, peralatan senaman dan gelanggang futsal turut disediakan selain mempunyai kawasan padang untuk penganjuran acara rasmi.

Salah seorang pengunjung menggunakan peralatan yang disediakan

“Tasik yang direntangi jambatan serta pelbagai spesis ikan air tawar juga merupakan antara daya tarikan utama orang ramai berkunjung ke taman rekreasi tersebut untuk bersantai sambil memancing bersama keluarga,” katanya.

Menurutnya, kawasan tersebut di buka setiap hari kepada pengunjung dan tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menggunakan kemudahan yang disediakan termasuk memancing. selagi pengunjung tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

Katanya, usaha untuk menaiktaraf kemudahan di kawasan tersebut akan terus dilakukan pada masa akan datang bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung terutama pembayar cukai dalam kawasan pentadbiran MDS.

“Saya harap kawasan taman rekreasi yang diuruskan oleh MDS ini mampu menjadi salah satu daya tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke daerah ini pada masa akan datang selain memenuhi keperluan penduduk untuk menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga.

“Saya juga meminta kerjasama orang ramai terutamanya pengunjung taman rekreasi ini agar dapat memberikan kerjasama supaya tidak menyalahgunakan kawasan ini dan merosakkan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan,” katanya.

Lokasi selesa untuk riadah

Selain menjadi lokasi riadah, Taman Rekreasi Sungai Kapeh ini juga turut menjadi tumpuan kepada pasangan mempelai merakamkan detik bersejarah mereka kerana susunan lanskap yang teratur dan keindahan alam semulajadi yang menarik.

Bagi pengunjung, Umar Salleh Khamis, 59, berkata, dia sering datang ke kawasan tersebut bersama keluarganya pada hujung minggu untuk memancing dan mengakui kawasan ini sesuai untuk dijadikan lokasi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Selalunya saya bersama isteri akan memancing sambil anak-anak melakukan aktiviti riadah lain seperti berjoging dan antara spesies ikan air tawar yang ada di tasik ini adalah seperti keli, tilapia dan patin.

Umar Salleh tekun menunggu umpan pancingnya disambat ikan ketika memancing bersama keluarga di Taman Rekreasi Sungai Kapeh

“Setiap petang boleh dikatakan tasik ini akan dipenuhi pengunjung dan sebelum adanya kawasan ini, kami terpaksa beriadah di Taman Rekreasi Batu Hampar yang tidak beberapa jauh daripada sini,” katanya.

Menurutnya, dia juga meminta pihak bertanggungjawab supaya lebih banyak melakukan pemantauan di taman rekreasi ini kerana pernah melihat beberapa pengunjung membawa anjing bersama-sama.

Bagi peniaga makanan ringan, Mohd Sazeri Yaakob, 41, berkata, dia yang mula berniaga di kawasan tersebut sejak lima tahun lalu menyifatkan taman rekreasi ini sebagai lubuk rezeki dan membantunya menambah pendapatan.

“Namun sejak kebelakangan ini pendapatan saya agak merosot sedikit disebabkan tidak begitu ramai pengunjung yang datang selepas kawasan ini ditengelami banjir baru -baru ini.

“Mungkin orang ramai menangguhkan hasrat mereka untuk datang ke sini disebabkan terdapat beberapa kawasan yang masih becak seperti di sebahagian tempat meletak kereta dan saya harap pihak berkuasa akan memulihkan tempat ini dengan segera bagi memeriahkannya kembali.” katanya.

(Visited 511 times, 1 visits today)






Komen

error: