Menu Utama
  • Kongsi info dan berita terkini Segamat bersama kami
  • Hantar info dan berita anda melalui emel admin-support@segamat.com.my

Ceburi pelbagai jenis perniagaan sebelum beralih ke bakeri

LABIS – Selepas lebih 10 tahun menceburi pelbagai bidang perniagaan, sepasang suami isteri di Kampung Sawah Baru, di sini, berjaya menjadikan perniagaan pembuatan pelbagai jenis roti dan pizza sebagai pendapatan utama mereka.

Siti Nur Haslin Shahrom, 33, berkata, sebelum ini, dia bersama suaminya, Rosdi Yaakob, 39, pernah menjual pelbagai jenis kain, barang-barang dobi serta nasi lemak semasa menetap di Johor Bahru.

“Bagaimanapun, sembilan tahun lalu, suami mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan di kampung, kami juga turut membuat kerja yang sama kerana minat dalam bidang perniagaan.

“Namun, sejak tiga tahun lalu, kami sepakat untuk menceburi bidang pembuatan roti dan pizza yang jarang dilakukan di sini dengan menjadikan rumah sebagai tempat operasi yang melihatkan turun naik kami dalam bidang perniagaan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia menjadikan anak-anak dan jirannya sebagai ‘bahan eksperimen’ terlebih dahulu sama ada pizza dan roti yang dihasilkannya itu memuaskan atau sebaliknya.

Siti Nur Haslin (kiri) menyiapkan roti dan pizza bersama salah seorang pekerjanya

Siti Nur Haslin (kiri) menyiapkan roti dan pizza bersama salah seorang pekerjanya

Katanya, sekiranya sebaliknya, dia bersama suaminya akan melakukan sedikit penambahbaikan sehingga produk mereka dapat diterima umum selain mengikuti kursus-kursus pembuatan roti dan pizza dari agensi kerajaan.

“Bagi menampilkan kelainan pada setiap produk keluaran kami, kami hanya menggunakan tepung tanpa peluntur iaitu tepung ‘cheese sawit’ dan bukannya daripada tenusu seperti yang digunakan oleh pengusaha bakeri lain.

Siti Nur Haslin Shahrom

Siti Nur Haslin Shahrom

“Setakat ini, pizza ayam kari keluaran kami mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan kerana mereka tidak pernah menikmati pizza seperti itu dan setiap roti dan pizza kami merupakan cita rasa Asia,” katanya.

Menurutnya, dengan modal permulaan kira-kira RM20,000, dia kini mengeluarkan enam jenis perasa pizza secara tetap seperti ayam kari, satay ayam, tuna, rendang selain pelbagai jenis roti seperti roti arab.

Katanya, dia yang pada mulanya ingin meceburi bidang bakeri secara sampingan kini menjadikan bidang tersebut secara sepenuh masa selain mendapat bimbingan dan bantuan bengkel serta peralatan seperti peti ais dan ketuhar daripada Jabatan Pertanian.

“Secara purata, kami boleh menghasilkan kira-kira 3,000 pizza dan roti secara sejuk beku dalam tempoh sebulan dengan dibantu oleh tiga pekerja tetap yang merupakan penduduk kampung ini.

“Kami juga turut menjual produk kami di setiap pasar malam, agrobazar dan kedai-kedai terpilih di sekitar daerah ini dan saya berharap, perniagaan ini mampu menambah pendapatan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, dia juga turut memasarkan produknya melalui laman sesawang dan kini pelanggannya juga semakin bertambah meliput di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

(Visited 341 times, 1 visits today)






Komen

error: