SEGAMAT – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, di sini, menjadi sekolah pertama di daerah ini yang mewujudkan bilik refleksologi kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Pengetuanya, A Balakrishnan berkata, kewujudan bilik refleksologi ini juga memenuhi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Pendidikan Khas sekaligus memberi peluang pelajar pendidikan khas menceburi bidang kemahiran.

“Bilik refliksologi ini merupakan salah satu kemahiran yg terdapat di dalam KSSM Pendidikan Khas yang telah dilaksanakan pada tahun 2017 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan tujuan murid dapat mengenali alatan sebenar sebagai bahan bantu mengajar (BBM).

“Murid juga mampu memperolehi pengalaman sebenar berdasarkan simulasi yang disediakan sebagai persediaan untuk menghadapi suasana sebenar apabila mereka tamat bersekolah dengan menjadikan refleksologi sebagai salah satu bidang kerjaya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Refleksologi PPKI di SMK Paduka Tuan, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, antara BBM yang disediakan adalah tiga kerusi urut, tiga kerusi juru refleksologi, rak barang, mangkuk rendaman kaki dan barang keperluan untuk urutan refleksologi dengan sasaran sembilan murid PPKI untuk menyertai kelas refleksologi.

“Bilik refleksologi ini juga memberi peluang dan latihan amali kepada golongan sasar kerana mirip seperti spa yang sebenar dan menjadi salah satu penanda aras PPKI sekolah ini bagi mata pelajaran Refleksologi KSSM 2017.

“Dengan usaha guru pendidikan khas sekolah ini yang memberikan seberapa banyak kemahiran yang sesuai kepada MBK, saya juga telah bersetuju untuk menyokong usaha ini sebelum bersara pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, ini adalah salah satu usaha bagi memastikan MBK mendapat pendidikan yang lebih bermakna berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) tanpa meminggirkan mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, beliau percaya murid pendidikan khas ini mampu menunjukkan potensi yang cemerlang jika diberikan peluang berdasarkan perancangan strategik yang tersusun sama seperti pelajar normal yang lain.

(Visited 601 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!