LABIS – Sebut sahaja Bekok, semua orang terutamanya rakyat di negeri Johor ini pasti segera terbayangkan kesejukan Air Terjun Sungai Bantang dan keindahan Taman Negara Endau Rompin-Selai yang terletak berhampiran pekan kecil di Bekok.

Dahulu, Bekok sering dilabel sebagai ‘pekan koboi’ kerana terpinggir daripada arus pembangunan selain terletak kira-kira 64 kilometer dari bandar Segamat kini mula bernafas kembali dengan menjadikan aktiviti eko dan agro-pelancongan sebagai sumber kekuatan.

Transformasi yang telah diperkenalkan oleh pemimpin setempat di Parlimen Labis juga berjaya mengubah Bekok melalui suntikan pembangunan dan infrastruktur sempurna yang sekaligus merapatkan jurang penduduk di kawasan berkenaan dengan masyarakat bandar.

Penghulu Mukim Bekok, Azman Abu Bakar berkata, walaupun terletak jauh dari pinggir bandar, segala kemudahan infrastruktur asas seperti sekolah, balai polis, balai bomba sukarela, klinik kesihatan, pejabat pos serta pasar telah tersedia di Bekok.

Azman menunjukkan salah satu tarikan di Bekok.

Menurutnya,kebanyakan majoriti penduduk di sini ialah kaum Cina (55 peratus), Melayu (30 peratus), India (10 peratus) dan Orang Asli sebanyak lima peratus selain terdapat enam perkampungan Melayu serta tujuh perkampungan Orang Asli.

“Biarpun Bekok masih ‘dikepung’ dengan tumbuhan hijau, namun inisiatif kerajaan tetap diteruskan dengan membangunkan kawasan ini sebagai lokasi tarikan pelancong seperti Hutan Lipur Sungai Bantang dan Taman Negara Endau Rompin-Selai.

“Kawasan-kawasan tersebut kini menjadi destinasi peminat aktiviti lasak dan menjadi lokasi perkhemahan, seminar dan kem motivasi anjuran pelbagai agensi awam dan swasta,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti ekonomi juga semakin rancak di pekan ini apabila Bekok semakin mudah diakses kerana jaringan jalan raya yang baik dan selesa selain terdapat kemudahan pengangkutan awam seperti keretapi dan teksi.

Katanya, beliau juga berharap pengusaha bas awam dapat mengaktifkan semula perkhidmatan tersebut di Bekok selepas beberapa tahun terhenti kerana terdapat permintaan tinggi daripada orang awam terutamanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan.

Bekok, Berbeza dengan 13 tahun dahulu

Ramlah mengakui Bekok semakin membangun dan mula dikenali.

Bagi peniaga, Ramlah Sarip, 64, berkata, disebalik jatuh bangun pekan ini, perniagaannya yang diusahakan secara kecil-kecilan dengan menyewa gerai Masjlid Daerah Labis (MDL) itu tetap beroperasi sehingga kini.

Menurutnya, dia yang telah berniaga di Bekok lebih 40 tahun merupakan salah seorang peniaga terawal di Bekok dan mengakui sejak tiga tahun dahulu pekan ini telah jauh berbanding 13 tahun dahulu.

“Mak cik memang akui kawasan ini memang agak sunyi dengan pembangunan yang agak perlahan dahulu selain ramai peniaga yang telah gulung tikar dan penduduk asal yang telah berpindah.

“Bagaimanapun, secara puratanya, kedai saya masih dikunjungi orang ramai terutamanya pengunjung dan pelancong daripada luar dan kedatangan mereka (pelancong) juga semakin meningkat selepas pelbagai usaha telah dilakukan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, walaupun Bekok berstatus pekan lama, pekan ini masih bebas dari sebarang ancaman jenayah selain aktiviti sosial yang masih lagi terkawal sehingga perniagaannya yang dibuka sejak 40 tahun lalu, masih kekal.

Mercu tanda baharu di Bekok

Bagi seorang lagi peniaga, Sarimah Rahman, 40, berkata, dia yang berhijrah ke Bekok 13 tahun lalu selepas berkahwin turut bersyukur selepas pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas yang lengkap telah tersedia berbanding ketika awal penghijrahannya dahulu.

“13 tahun dahulu, sekiranya saya ingin membeli barang masakan saya terpaksa pergi ke Pekan Chaah kira-kira 17 kilometer kerana ketika itu tiada pasar atau kedai yang menjual bahan-bahan mentah.

“Dahulu, pukul 9 malam boleh dikatakan Bekok menjadi senyap sunyi dan sekarang pelbagai aktiviti dilakukan oleh penduduk setempat bagi mengisi masa terluang dan bagi saya ini merupakan perkembangan yang positif.

Mural menghiasi bangunan lama di Bekok

Selain Hutan Lipur Sungai Bantang dan Taman Negara Endau Rompin-Selai, salah satu tarikan pengunjung ke Bekok adalah lukisan muralnya yang menghiasi hampir keseluruhan bangunan-bangunan lama di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, di Bekok terdapat pelbagai bangunan lama dan melalui Program Transformasi Bekok (BTP), bangunan-bangunan lama tersebut telah dhiasi lukisan mural yang berkonsepkan flora dan fauna.

Tee Yong (dua,kanan) menunjukkan salah satu lukisan mural yang terdapat di Bekok.

Menurutnya, sebelum ini terdapat beberapa bangunan lama yang sudah dilukis dengan mural seperti bangunan di Jalan Wijaya, di sini, yang dihiasi dengan lukisan Air Terjun Sungai Bantang selain menjangkakan lebih banyak mural yang akan dilukis pada tahun ini.

Katanya, selain itu pihaknya juga telah menjalankan pelbagai promosi mengenai tarikan Bekok seperti penganjuran Festival Bekok dan Jom Balik Bekok yang diadakan setiap tahun bermula tahun lalu.

“Kita berharap sekiranya Jalan Bekok-Paloh dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, jumlah pengunjung ke Bekok akan meningkat dan kita akan berusaha untuk memajukan lagi Bekok agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.

(Visited 2,258 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!